Sanaa adalah ibu negara Republik Arab Yaman sekarang. Sejarah bandar ini bermula pada zaman pemerintahan Hulk Amir bin Kariba, raja kerajaan Saba dan Zu Rayan yang memerintah pada awal kurun pertama Masihi.
Sekitar tahun 530 Masihi, Raja Abrahah Al-Habsyi, pemilik gajah yang ingin meruntuhkan Kaabah pada tahun kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., telah muncul selepas kejatuhan Raja Yahudi, Zu Niwas yang banyak menindas golongan Kristian di Sanaa.
Abrahah menjadikan Sanaa sebagai pusat pemerintahan kerajaan Al-Habsyi selepas dia berjaya menggulingkan raja Aryad. Abrahah membina sebuah gereja kristian yang sangat besar serta lengkap yang dikenali dengan nama Al-Qalis.
Penduduk Yaman adalah di antara orang-orang yang pertama beriman kepada Rasulullah s.a.w. dan pembela baginda. Mereka juga mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam menyebarkan dakwah Islam di luar kepulauan Arab, iaitu selepas Islam membuka Yaman.
Bandar Sanaa terdedah kepada beberapa ancaman luar, di antaranya ancaman tentera Salib dan Monggol, kemudian ancaman Portugis, Belanda dan Inggeris.
Namun begitu, dengan kekuatan Salahuddin Al-Ayubi pada kurun ke-6 Hijrah, begitu juga dengan kekuatan tentera Mamalik selepas itu, umat Islam berjaya menghalang ancaman tentera Salib dan Monggol serta berjaya sampai ke laluan utama Laut Merah untuk mengawalnya.
Pada zaman pemerintahan Sultan Othmaniah di Turki, iaitu Sultan Salim I, Yaman telah mengisytiharkan untuk berada di bawah kekuasaan Kerajaan Othmaniah di Turki.
Kemudian pada zaman pemerintahan Muhammad Ali Pasha sebagai gabenor di Mesir, Yaman berada di bawah kekuasaan Kerajaan Mesir.
Yaman terus berada di dalam peringkat pertembungan antarabangsa di antara Kerajaan Eropah dan Kerajaan Othmaniah di Turki dalam beberapa tahun yang agak panjang, sehinggalah tentera British berjaya menjajah bandar Aden pada kurun ke-19.
Oleh yang demikian, rakyat Yaman terpaksa berada di bawah cengkaman penjajahan tersebut di samping pertembungan antarabangsa, malah mereka berusaha beberapa kali mencetuskan revolusi tetapi tidak berjaya.
Kerajaan
Pada awal kurun ke-20, Yaman pada masa itu yang dikenali dengan Kerajaan Perwakilan Yaman telah menyertai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Kemudian pada pertengahan kurun ke-20, Yaman menyertai Liga Negara-negara Arab.
Pada tahun 1962 Masehi, Yaman mengisytiharkan Republik Yaman dengan menghapuskan sistem kerajaan.
Ramai di kalangan alim ulamak, ahli fikah, sasterawan dan ahli syair yang menisbahkan diri mereka kepada Sanaa.
Di Sanaa sentiasa terdapat alim ulama mujtahid, orang yang fakih usul fikah, sasterawan serta ahli syair yang asal.
Ubaid bin Syuraih mengarang kisahnya yang bersejarah itu di bandar Sanaa, menyebabkan dia dipanggil oleh Khalifah Muawiah bin Abu Sufian ke istananya.
Wahab bin Munabbih, seorang ahli ilmu terkemuka, yang telah meninggal dunia di Sanaa dianggap oleh penduduk Sanaa sebagai Hujjah Fi Al-Quran.
Di antara mereka juga ialah al-Imam al-Hafiz Abdul Razak as-Sanaani, pengarang kitab al-Musannaf Abdul Razak.
Di bandar ini juga turut dilahirkan ahli ilmu yang dianggap sebagai ensiklopedia, iaitu al-Hasan bin Ahmad al-Hamadani, Alqamah bin Zi Jadn, Wadhdhah al-Yaman, Abdul Khaliq bin Abu Talh asy-Syihabi.
Peristiwa di Sanaa:
- Selepas Nabi s.a.w. wafat, beberapa pemberontakan berlaku di Sanaa sebagai percubaan untuk memisahkannya dari negara Islam. Walau bagaimanapun, pemerintahan khalifah pada masa tersebut berjaya menundukkan golongan pemisah dan mengembalikan semula Sanaa ke dalam negara Islam.
- Ramai di kalangan penduduk Sanaa yang keluar untuk bersama-sama tentera pembukaan kawasan Islam, iaitu tentera di bawah pimpinan Amru bin Al-Ash, malah ramai di kalangan pejuang-pejuang dan kabilah-kabilah berasal dari Yaman yang menetap di negeri Syam serta di pelbagai pelosok dunia Islam.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0811&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz33DG6ITns
© Utusan Melayu (M) Bhd