IDRIS SULAIMAN
3 April 2015

Pergolakan adalah suatu usaha terancang musuh untuk memporak-perandakan negara Islam. - Sumber foto cdn.thedailybeast.com
BARU-baru ini Arab Saudi memimpin 10 negara Islam menggempur kedudukan tentera pemberontak Syiah Houthi di Yaman.
Serangan ini adalah rentetan daripada pergolakan yang melanda negara Yaman sejak sekian lama dan pertembungan antara masyarakat Sunni dan Syiah Houthi di negara tersebut.
Apa yang pasti, pergolakan ini bukan sekadar masalah dalaman negara tersebut tetapi ia adalah suatu usaha terancang musuh Islam untuk memporak-perandakan negara Islam satu persatu dan melemahkan mereka.
Kemuncaknya adalah kenyataan seorang pemimpin kanan Syiah Houthi, Abdul Karim Al-Khiwani dengan sombongnya menyatakan mereka akan tawaf keliling Kaabah pada tahun depan sebagai penakluk negara tersebut.
Menyedari bahayanya pemberontak Houthi ini yang dibiayai kuat oleh negara Syiah Iran, 10 negara Islam telah membentuk satu kesatuan tentera di bawah pimpinan Arab Saudi dan melancarkan perang jihad atas musuh dalam selimut ini.
Berikutan itu, sudahkah masyarakat Islam di Malaysia bangkit daripada lamunan dan menyedari akan apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka serta rancangan musuh yang sedang mengasah pisau menanti waktu untuk bertindak?
Dukacitanya tidak kurang dalam kalangan masyarakat Islam tanah air yang masih keliru dengan apa yang sedang berlaku sehingga tidak dapat membezakan antara yang mana kawan dan yang mana lawan.
Keadaan ini jelas mengundang bahaya tatkala kawan dianggap lawan manakala musuh disangka sahabat. Tetapi ini tidak pelik memandangkan hari ini kita hidup dalam zaman fitnah penuh tipu muslihat.
Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Akan tiba buat manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan, si penipu akan dipercayai dan orang yang jujur akan didustai; orang yang khianat akan diberi amanah manakala orang yang amanah dikatakan khianat". (Riwayat Imam Ahmad, sahih)
Masyarakat keliru
Ramai dalam kalangan masyarakat yang keliru dan terus dikelirukan dengan momokan 'Wahabi'. Sehingga sesiapa yang ingin beramal dengan al-Quran dan hadis sahih sejajar dengan fahaman sahabat RA akan dilabel sebagai Wahabi.
Walhal, al-Quran dan hadis sahih itulah yang sepatutnya menjadi pegangan setiap Muslim. Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah perselisihan itu kepada ALLAH (al-Quran) dan Rasul-Nya (hadis), jika kamu benar-benar beriman dengan ALLAH dan hari akhirat". (Surah Al-Nisaa: 59)
Dalam masa yang sama, memahami nas al-Quran dan hadis perlu selari dengan pemahaman golongan sahabat secara khasnya dan ketiga-tiga generasi salaf umat Islam secara amnya. Hal ini diperintahkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya: "Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafaa’ Al-Rasyidin yang mendapat petunjuk; gigitlah ia dengan gigi geraham kamu" (Riwayat Ahmad & yang lain, sahih)
Apa yang disepakati oleh Khulafaa’ Al-Rasyidin dan sahabat adalah ijmak yang menjadi hujah dan wajib diikuti oleh umat Islam yang datang kemudiannya.
Tambah lagi, ketiga-tiga generasi salaf; Generasi sahabat, tabiin dan tabi’ al-Tabiin dipuji oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya: "Sebaik-baik manusia adalah mereka yang hidup dalam kurunku, setelah itu mereka yang datang kemudian (generasi tabi’in) dan setelah itu mereka yang datang kemudian (generasi tabi’ al-Tabi’in)." (Riwayat Bukhari & Muslim)
Akhirnya momokan Wahabi tidak lebih hanya usaha segelintir pihak jika bukan musuh-musuh Islam untuk menjauhkan masyarakat daripada ajaran Islam yang sebenar berteraskan al-Quran dan hadis sahih mengikut kefahaman sahabat dan ketiga-tiga generasi salaf.
Mereka mahu terus mengikat masyarakat dengan tali taksub dan taklid buta kepada mazhab dan guru agama tertentu, walhal yang maksum hanya al-Quran dan hadis sahih serta ijmak yang benar.
Musibah kejahilan
Tidak kurang juga yang kagum dengan Revolusi Islam di Iran sehingga ingin diadaptasikan di negara kita. Bukan sahaja revolusinya, bahkan sehingga ajaran Syiah pun dipandang remeh.
Akhirnya mereka tiada masalah untuk berdiri bersama orang Syiah (atau mereka yang lunak dengan Syiah) dan menyokong mereka. Mereka seakan tidak sedar matlamat besar Syiah adalah untuk menghancurkan Kaabah dan memalingkan umat Islam ke 'Kaabah' mereka di Karbala, Iran.
Terdapat juga dalam kalangan masyarakat yang terpengaruh dengan seruan 'jihad' kumpulan-kumpulan Khawarij moden seperti Al-Qaeda, Ikhwanul Muslimin, IS dan gerakan pemberontak di tanah air yang zikir harian mereka adalah 'kerajaan zalim'.
Sedar atau tidak perbuatan mereka sebenarnya mengundang perpecahan dan perbalahan dalam kalangan umat Islam. Hal ini jelas bercanggah dengan tuntutan syarak supaya umat Islam sentiasa bersatu padu. Seperti mana firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali ALLAH dan janganlah kamu berpecah belah". (Surah Ali-Imran: 103)
Sabda Nabi Muhammad SAW: "Seorang Muslim adalah saudara sesama orang Muslim; dia tidak akan menzaliminya, mengecewakannya mahupun mempersendakannya" (Riwayat Muslim)
Bahkan sebagaimana terbukti dalam sejarah Islam dalam peristiwa Fitnah Ibnu Abi Al-Asy’ath, golongan pemberontak ini tidak akan segan-silu meminta bantuan orang kafir untuk berdepan dengan penguasa Muslim mereka. Akhirnya mereka menjadi boneka bidak-bidak di papan catur orang kafir Yahudi dan Nasrani.
Benarlah hadis Nabi Muhammad SAW mengenai golongan pemberontak Khawarij; sama ada yang dahulu atau sekarang: "Mereka memerangi orang Islam dan membiarkan penyembah berhala". (Riwayat Bukhari & Muslim)
Adapun kebanyakan masyarakat awam Islam pula, mereka terus lalai alpa dengan buaian lagu Yahanana oleh ustaz-ustaz sufi mereka; memberi gambaran seolah-olah keadaan semua baik dan bagus; tidak ada apa yang perlu dirunsingkan.
Seolah-olah kesengsaraan umat Islam di Palestin, Syria, Iraq, Afghanistan, Myanmar dan entah di mana lagi sudah selesai atau tidak wujud lagi. Atau barangkali, penyelesaian masalah umat ini mudah sahaja bagi mereka. Jika mahu apa-apa, mereka boleh sahaja menyeru:
"Ya Rasulullah!" "Ya Abdul Qadir Al-Jilani!" "Madad! Madad!"
Tanpa sedar amalan ini bukan daripada ajaran Islam, bahkan bercanggah dengan syariat Islam yang menuntut supaya kita hanya meminta daripada ALLAH semata-mata dan menjauhi segala bentuk syirik, di samping beribadah sejajar dengan sunnah Nabi SAW.
Tanpa sedar ajaran Sufi adalah warisan daripada Syiah. Dan seperti Syiah, Sufi adalah perkakas penjajah Nasrani kerana ajarannya 'Tidak ada jihad perang pada zaman sekarang, hanya jihad melawan hawa nafsu' sangat menguntungkan penjajah.
Itulah slogan 'jihad' orang Sufi sejak dahulu. Tidak pernah terlintas untuk mereka mempertahankan negara dan tanah air daripada jajahan musuh Islam. Jauh sekali untuk berjihad. Bahkan jangan terkejut, mereka mungkin sampai mengalu-alukan kedatangan penjajah dan
menegah masyarakat Islam daripada melawan atau melakukan apa jua penentangan seperti mana yang dilakukan pengasas Tarekat Sufi Qadiani, Mirza Ghulam Ahmad di India suatu ketika dahulu ketika British datang menjajah negara berkenaan.
IDRIS SULAIMAN
(Ahli Majlis Syura, Ilmuwan Malaysia (iLMU))
No comments:
Post a Comment