Kumpulan militan IS memaklumkan, serangan tersebut merupakan tindakan balas dendam terhadap kumpulan pemberontak Houthi yang menawan Sanaa dan beberapa bandar lain di negara ini.
Menurut saksi dan pegawai keselamatan, dua buah kereta menyasarkan masjid, sementara kenderaan ketiga pula merempuh kediaman pemimpin politburo Houthi, Saleh al-Sammad.
Sebuah rumah milik pemimpin Houthi, Taha al-Mutawakel yang terletak berhampiran Masjid Al-Hashush turut menjadi sasaran IS.
Dalam kejadian berasingan, sebuah kereta dipenuhi bahan letupan merempuh Masjid Al-Quba Al-Khadra di daerah Hayel, sementara dua lagi letupan berlaku di Masjid Al-Kibssi dan Al-Tayssir di daerah Al-Ziraa.
Saksi memberitahu, bom-bom berkenaan ditanam berdekatan di pintu masjid terlibat ketika para jemaah berkumpul untuk menunaikan solat Maghrib, semalam.
Serangan itu berlaku ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berusaha melaksanakan rundingan damai antara kerajaan Yemen dan wakil Houthi di Geneva.
Tiga bulan lalu, militan IS me­lancarkan serangan bom terhadap beberapa masjid Syiah dan mengorbankan 142 orang. – AFP