Stesen rangkaian berita Al-Jazeera dalam laporannya menyatakan, perjanjian gencatan senjata kedua itu yang ditandatangani semalam, menetapkan syarat pengunduran secara selamat oleh semua pemberontak Huthi dari Ibb.
Semalam, sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dalam pertempuran apabila kabilah di Ibb membina pusat pemeriksaaan di Yareem bagi menghalang pemberontak Huthi daripada memasuki wilayah berkenaan yang bersempadan dengan wilayah Bayda, kubu kuat militan al-Qaeda.
Kemaraan pemberontak Huthi sejak rampasan ibu negara Yemen, Sanaa pada 21 September lalu, membangkitkan kebimbangan ramai pihak terhadap peperangan antara kabilah di bahagian utara selepas kumpulan pemisah mengambil kesempatan untuk berpisah selain memberi kata dua kepada kerajaan untuk memindahkan tentera kerajaan dan petugas awam sebelum 30 November.
Wartawan Al-Jazeera yang berada di Sanaa, Omar Al Saleh melaporkan, pemberontak Huthi semakin mara pada setiap hari dan gerakan pemisah di selatan mencetuskan keadaan huru-hara di setiap pelosok negara ini.
“Ramai penduduk Yemen bimbang peperangan antara puak akan tercetus di utara dan perangan antara puak pemisah di selatan.
“Kumpulan pemisah di bahagian selatan negara mengambil kesempatan ekoran pergolakan di utara (pemberontakan Huthi) dan meminta kemerdekaan daripada Yemen,” katanya.