Portal berita Al Jazeera yang memetik sumber pegawai Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa melaporkan, sebuah pesawat yang sepatutnya membawa wakil puak Houthi dan sekutunya berlepas tanpa membawa kumpulan delegasi terbabit menghadiri rundingan damai yang dijadualkan bermula esok.
Sehubungan itu, seorang wakil puak Houthi yang enggan dikenali memaklumkan, kumpulan pemberontak membantah idea PBB untuk mengadakan perbincangan delegasi secara berasingan membabitkan wakil kerajaan pimpinan Presiden, Abdrabbuh Mansour Hadi dan wakil kumpulan yang menggulingkan kerajaan.
Jelas pegawai tersebut, idea berkenaan dilihat sebagai cubaan memberi tekanan kepada puak Houthi berundur dari Sanaa berbanding mengadakan perbincangan dengan lebih terbuka antara pihak terlibat.
Dalam perkembangan sama, delegasi yang mewakili Abdrabbuh, tiba di Geneva pagi semalam sebagai komitmen terhadap usaha PBB mengadakan rundingan bagi menamatkan krisis pemberontakan yang berlanjutan di Yemen sejak tahun lalu.
Sementara itu, satu gabungan 13 pertubuhan kemanusiaan antarabangsa menggesa satu gencatan senjata berkekalan dimeterai selepas konflik di Yemen mengakibatkan kehidupan 80 pe­ratus populasi atau kira-kira 20 juta penduduknya terjejas.
Gabungan tersebut juga meminta tentera bersekutu yang diketuai Arab Saudi menarik semula sekatan udara dan laut bagi memberi laluan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada penduduk awam Yemen.
Situasi kemanusiaan semakin meruncing terutamanya di bandar Taez, selatan negara ini yang dikuasai pemberontak Houthi, apabila bekalan keperluan asas termasuk makanan, ubatan, dan bekalan air bersih semakin berkurangan.
Kebanyakan perkhidmatan kerajaan terjejas disebabkan pertempuran di sekitar bandar itu, manakala semua sekolah terpaksa ditutup dan bekalan kuasa terputus.