WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Barack Obama berikrar akan menyiasat dalang di sebalik penghantaran bungkusan mengandungi bahan letupan yang dialamatkan ke rumah ibadat Yahudi di Chicago yang ditemui di Britain dan Dubai, kelmarin.
Obama berkata, kerajaannya akan meningkatkan tahap keselamatan udara dan melakukan pemeriksaan ketat ke atas setiap bungkusan yang datang dari Yaman dalam usaha menangani insiden terbaru ancaman pengganas itu.
Ancaman itu berlaku hanya beberapa hari sebelum rakyat Amerika membuat undian penggal pertengahan pilihan raya kongres yang lebih menumpukan isu ekonomi berbanding keganasan. Penemuan bungkusan mencurigakan di atas pesawat kargo dalam penerbangan menuju ke Amerika Syarikat (AS) yang singgah di Dubai dan Britain itu meningkatkan tahap berjaga-jaga sistem keselamatan udara antarabangsa.
Rumah Putih merakamkan penghargaan dan rasa terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang menyalurkan maklumat mengenai kemungkinan ancaman dari Yaman itu sehingga berjaya dikesan pihak berkuasa di dua negara terbabit. Sebaik mendapat maklumat pada lewat malam Jumaat, Obama segera mengarahkan pesawat kargo di lapangan terbang di Philadelphia dan Newark diasingkan serta diperiksa kerana dijangka mengandungi bungkusan bahan letupan dari Yaman. Pesawat pejuang AS dan Kanada kemudian diarah mengiringi pesawat Emirates yang dalam penerbangan ke New York tetapi pihak Emirates berkata, pesawat penerbangannya tidak membawa sebarang kargo dari Yaman.
Sementara itu, bungkusan pertama yang mengandungi kartrij pencetak yang diubah suai ditemui dalam pesawat United Parcel Service (UPS) yang singgah di Lapangan Terbang East Midlands di Castle Donnington, awal pagi kelmarin. Bungkusan sama turut ditemui di Dubai dalam pesawat kargo yang menuju ke Chicago.
Bungkusan itu kemudian dibawa ke depot UPS kira-kira 300 kaki dari landasan lapangan terbang dan setengah batu dari terminal penumpang sebelum dibawa menaiki helikopter ke Scotland Yard untuk siasatan. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2010/10/31