Wednesday, 18 May 2011

Kembalikan Amal


SANAA: Keluarga balu termuda Osama bin Laden di Yaman menuntut wanita terbabit dikembalikan ke negara itu bersama lima anaknya selepas mereka ditahan Pakistan sejak pemimpin al-Qaeda berkenaan dibunuh Amerika Syarikat awal bulan ini.

Waris Amal Abdulfattah, Zakariya, berkata dia menerima jaminan daripada Duta Yaman di Islamabad bahawa wanita terbabit kini sihat walaupun cedera terkena peluru pada kakinya.


Kata Zakariya, Amal dan semua anaknya - tiga perempuan dan dua lelaki - mesti dibawa pulang dari Pakistan.



“Anak sulung Amal, Safiya, baru berusia 10 tahun,” katanya semalam.


Sebelum itu, kumpulan hak asasi manusia Yaman, Pertubuhan Kebangsaan Mempertahankan Hak dan Kebebasan (HOOD) berkata mereka kini bekerjasama dengan pihak berkenaan bagi membawa pulang Amal, 29.


Peguam HOOD, Abdulrahman Baraman, berkata pertubuhan itu kini bertindak bagi pihak keluarga Amal.

Abdulrahman berkata, HOOD akan meminta kerajaan Yaman menuntut pembebasan Amal serta membawanya kembali ke negara asal.


“Amal tak bersalah. Satu-satunya jenayah Amal ialah bernikah dengan Osama,” katanya.

HOOD juga, kata Abdulrahman, bercadang menghubungi pertubuhan hak asasi antarabangsa bagi mendapatkan bantuan.


Sebelum ini, Islamabad berkata, tiada mana-mana negara membuat permohonan mengekstradisi dua balu Osama.


Selain Amal, seorang lagi balu Osama berasal dari Arab Saudi.


Amal bertemu jodoh dengan Osama selepas diuruskan orang tengah pada 1999. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2011/05/18

Saturday, 14 May 2011

Al-Qaeda tembak mati 5 askar Yaman



SANAA: Kumpulan al-Qaeda menyerang hendap sebuah kenderaan tentera dan membunuh lima askar Yaman di bandar Marib, timur bandar raya ini, semalam.

“Kenderaan itu diserang hendap dan semua anggota tentera di dalamnya terbunuh.


“Al-Qaeda dipercayai bertanggungjawab,” kata seorang pegawai.



Cabang al-Qaeda Saudi dan Yaman bergabung pada Januari 2009 untuk membentuk Al-Qaeda Semenanjung Arab (AQAP). Serangan semalam berlaku sehari selepas tentera Yaman menembak mati 19 penunjuk perasaan yang menentang pemerintahan kerajaan pimpinan Presiden Ali Abdullah Saleh. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2011/05/14

Saturday, 7 May 2011

Isteri Osama jadi rebutan


ISLAMABAD: Pakistan dan Amerika Syarikat terbabit dalam perbalahan diplomatik berhubung nasib isteri muda Osama bin Laden.

Amal al-Sadah menjadi tumpuan perebutan antarabangsa untuk menahannya selepas Pakistan enggan membenarkan Amerika Syarikat menyoalnya semalam.


Wanita warga Yaman berusia 27 tahun itu, berusaha melindungi suaminya daripada ditembak oleh anggota tentera elit Amerika dalam serangan Ahad lalu tetapi ditembak di kaki sebelum ditawan oleh tentera Pakistan. Amal kini terperangkap dalam perbalahan Pakistan dan Amerika Syarikat mengenai nasibnya ketika kedua-dua negara berkenaan menyelar satu sama lain mengenai sama ada Pakistan melindungi Osama sepanjang 10 tahun lalu.



Tentera Amerika berhasrat membawa Amal bersama mereka selepas serangan itu tetapi meninggalkannya selepas sebuah helikopter yang terbabit dalam serangan berkenaan terhempas.


Amerika menuduh Pakistan melindungi ketua al-Qaeda itu menyebabkan pegawai negara itu enggan membenarkan Amerika menyoal siasatnya di sebuah hospital tentera di Rawalpindi, tempat Amal dirawat.


Menurut mereka, Amal akan dihantar pulang ke Yaman sebaik pulih. Tindakan itu akan menghalang Amerika memperoleh maklumat penting mengenai Osama di Pakistan.

Ia akan meningkatkan lagi dakwaan kononnya perkhidmatan perisikan Pakistan melindungi Osama dan tidak mahu butir mengenai hubungan Pakistan dengan al-Qaeda terbongkar. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2011/05/06

Thursday, 5 May 2011

Militan di Yaman ikrar balas dendam


ADEN: Seorang pemimpin cawangan al-Qaeda di pedalaman Yaman semalam berikrar untuk membalas dendam ke atas pembunuhan Osama bin Laden oleh tentera Amerika Syarikat.

“Kami akan bertindak balas terhadap kematian pemimpin kami, Sheikh Osama bin Laden dan akan membuktikannya kepada musuh Islam,” katanya kepada AFP ketika dihubungi menerusi telefon dari Abyan, selatan Yaman.


Wilayah berkenaan ialah kubu kuat al-Qaeda.



“Mereka akan lihat apa yang mereka tidak pernah menjangka. Kami sedang menyiapkan rancangan untuk meneruskan jihad,” kata pemimpin itu yang enggan namanya disiarkan kerana alasan keselamatan.


“Kesyahidan Osama tidak bermakna jihad akan berakhir,” katanya.


Beliau juga berkata: “Osama sudah menyiapkan ‘seribu singa’ sepertinya yang akan mengikuti jejak langkahnya sehingga kami mencapai janji Allah kepada kami - Khalifah Islam.” Amerika Syarikat Isnin lalu mengumumkan pasukan komando elitnya menembak mati Osama dalam serangan terhadap vila mewahnya berhampiran Islamabad, ibu negara Pakistan.

Penduduk di bandar Mudia, Mahfad dan Loder di Abyan yang dikuasai al-Qaeda berkata, rangkaian penyokong kumpulan itu yang bertafakur dengan kematian Osama menggantung sepanduk hitam di kediaman mereka dan sepanjang jalan.


Cawangan al-Qaeda Saudi dan Yaman bergabung pada Januari 2009 untuk membentuk Al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP), sekali gus memberi ancaman serius kepada kepentingan Amerika Syarikat di Yaman dan juga Presiden Ali ABdullah Saleh. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2011/05/05

Monday, 2 May 2011

Ali enggan beralah


SANAA: Pembangkang Yaman semalam berkata, mereka tidak akan ke Riyadh untuk memuktamadkan perjanjian bagi menamatkan konflik politik di negara itu.

Delegasi daripada parti kerajaan dan Forum Umum dianggotai pembangkang dijadual menyertai Menteri Luar Majlis Kerjasama Teluk (GCC) bagi mencari penyelesaian terhadap desakan supaya Presiden Yaman, Ali Abdullah Salleh, bersara.


Wakil pembangkang, Mohammad al-Sabri, berkata inisiatif itu gagal apabila Setiausaha Agung GCC, Abdullatif al-Zayani, meninggalkan Sanaa tanpa tanda tangan Ali.



“Empat rundingan diadakan bagi meyakinkan Ali, tetapi setiap kali bertemu, presiden itu mengemukakan syarat baru,” katanya.


GCC mencadangkan pembentukan kerajaan perpaduan di Yaman bagi membolehkan Ali memindahkan kuasanya kepada naib presiden serta menamatkan protes berdarah di kalangan orang ramai sejak ia tercetus akhir Januari lalu.


Melalui perjanjian itu, Ali sepatutnya mengemukakan peletakan jawatan kepada parlimen pada hari ke-30 perjanjian dicapai serta sehari selepas parlimen meluluskan undang-undang memberi kekebalan kepadanya.

Satu pilihan raya presiden kemudian diadakan selepas 60 hari.


Namun, Ali secara terbuka berpegang kepada perlembagaan dalam sebarang isu pemindahan kuasa walaupun Parti Kongres Rakyat yang membentuk kerajaan Yaman menerima pelan dicadangkan GCC itu.

Abdullatif ke Sanaa bagi menjemput Ali dan pembangkang secara rasmi ke Riyadh bagi menandatangani perjanjian hari ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2011/05/02