Tuesday, 25 October 2011

Presiden Yaman masih berdegil



DUBAI: Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh mungkin tidak akan menghiraukan resolusi Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya meletak jawatan.

Menurut pemerhati, kedegilannya itu membuka ruang kepada perang saudara di negara berkenaan.



Semua 15 anggota Majlis Keselamatan bersetuju dengan ketetapan yang mengkritik serangan kerajaannya ke atas penunjuk perasaan yang disokong negara Teluk.

Ketua Pusat Pengajian Masa Hadapan, Saqaf Tambang berkata, “Saya tidak fikir ALi akan akan menandatangani surat persetujuan meletak jawatan seperti yang dicadangkan negara Teluk.


“Dia mungkin akan mengambil dasar menghanguskan bumi Yaman,” katanya.


Beratus-ratus orang mati dalam pertempuran dan tunjuk perasaan sejak sembilan lalu kerana membantah pemerintahan Ali yang kini memasuki tahun ke 33. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2011/10/24

Friday, 21 October 2011

Tawakkul ‘wanita besi’


Susunan Nor Faizah Mohamed

BELIAU dikenali sebagai ‘ibu revolusi di kalangan masyarakat Yaman, malah tidak kurang pula yang mengangkatnya selaku ‘wanita besi’ di republik itu.

Pada pandangan kasar, Tawakkul Karman sama seperti wanita Muslim konservatif yang sedia berjuang demi perubahan untuk negara dan masyarakatnya.


Namun, penerima Anugerah Keamanan Nobel 2011 itu sebenarnya penggerak serta tampil selaku barisan depan yang menentang rejim pemerintahan pimpinan Presiden Ali Abdullah Saleh.

Pembabitan Tawakkul, 32, sebagai aktivis bagi hak asasi manusia di negaranya bermula hampir sedekad lalu. Bagaimanapun, insiden tang­kapannya pada awal tahun ini menyaksikan penyokongnya bangkit mempertahankan wanita itu hingga berjaya menarik lebih ramai penyertaan daripada generasi muda yang mahukan perubahan dalam pentadbiran kerajaan Yaman.


Saat namanya diumumkan sebagai salah seorang penerima anugerah Nobel, Jumaat lalu, Tawakkul berada di lokasi sama yang dikunjunginya setiap hari sejak lapan bulan lalu - kem protes di Dataran Change berhampiran bulatan sentral Sanaa yang menjadi medan simbolik bagi kumpulan pemberontak sebelum ini.


“Anugerah ini bukan untuk Tawakkul, ia untuk semua rakyat Yaman yang mati syahid, yang menentang kepada kezaliman (Saleh) dan pengikutnya.

“Setiap pemimpin yang zalim dan diktator kecewa dengan anugerah ini kerana ia me­nyokong keadilan dan keamanan,” katanya.

Tawakkul yang berkongsi Nobel bersama Presiden Liberia, Ellen Sirleaf Johnson dan aktivis kemanusaan Liberia, Leymah Gbowee adalah wanita Arab pertama yang memenangi anugerah itu.

Menerusi anugerah itu, jawatankuasa Nobel bagaikan bersetuju dengan Revolusi Arab, iaitu kebangkitan masyarakat Timur Tengah yang menentang pemerintahan kuku besi hingga berjaya menggulingkan pemimpin Tunisia, Mesir dan Libya.

Di Yaman, berjuta-juta rakyatnya menyertai kumpulan protes di Sanaa dan beberapa bandar berhampiran sejak hujung Januari lalu. Saleh bagaimanapun enggan melepaskan jawatannya dan masih berkeras mahu memerintah Yaman.

Tawakkul dan beberapa aktivis muda yang meng­gerakkan pemberontakan itu mewujudkan kumpulan pergerakan unik di kala negara itu masih mengamalkan kehidupan berasaskan kepada undang-undang di kalangan kaum dan senjata dijual secara berleluasa hinggakan hampir setiap rumah mempunyai senapang.

Sama seperti majoriti wanita Yaman, Tawakkul pernah memakai niqab iaitu tudung tradisi yang menutup seluruh wajahnya kecuali bahagian mata yang digandingkan bersama jubah labuh dan longgar.

Namun sejak tahun lalu, Tawakkul mula mengenakan skaf moden yang cuma menutup rambutnya kerana beliau ingin bertemu dan berbincang secara bersemuka dengan penyokongnya.

Pada masa sama, beliau turut menyertai Parti Islah, parti pembangkang Yaman, tapi penyertaan itu menyebab­kan Tawakkul dikritik teruk parti konservatif hinggakan namanya menjadi bahan kutukan ketika khutbah Jumaat di masjid pro-Saleh.

Rejim Saleh itu juga cuba menggagalkan usahanya de­ngan menyebarkan foto wanita itu duduk dalam khemah protes bersama penyokong lelaki - dengan wanita lain di sekelilingnya dibuang daripada foto itu.

Jelas Tawakkul, wanita di negaranya sejak dulu me­nyokong pasukan protes yang mahukan keadilan daripada Saleh. Kumpulan protes itu juga cuba merentasi jaluran puak dengan menggalakkan perpaduan dan persefahaman di kalangan masyarakatnya.

Usaha itu membuatkan Saleh memerintahkan pasukan keselamatannya menyerang ahli kumpulan secara terbuka. Sanaa dan beberapa bandar berhampiran kini bertukar menjadi zon perang dengan pasukan tentera rejim saling berbunuhan dengan penyokong protes dan pejuang puak yang rela mati syahid demi negaranya.

Pada hari yang sama pengasas pergerakan ‘Women Journalists without Chains’ itu dinamakan sebagai penerima Nobel, beberapa penyokong protes mati ditembak tentera rejim di Dataran Change atas alasan cuba memberi komen kepada wartawan asing.

Pasukan keselamatan kerajaan turut mengebom daerah Hassaba, berhampiran Sanaa, yang menjadi pusat gerakan antikerajaan, selain membakar rumah ketua puak antara­nya kediaman Sheik Sadeq al-Ahmar yang menjadi salah seorang pencabar Saleh bagi jawatan pemimpin Yaman.

Saleh terus menyemarakkan kemarahan kumpulan protes dengan mengutuk wanita yang menyertai pergerakan itu dan mengatakan bahawa pembabitan mereka bersama lelaki adalah salah di sisi undang-undang Islam.

Ironinya, parti yang disertai Saleh - Kongres Rakyat - me­nyambut baik anugerah Nobel yang diraih Tawakkul walaupun cuba menumpang populariti wanita itu dengan mengatakan bahawa wanita Yaman masih mampu menentang kolonialisme di bawah pemerintahan Saleh.

Menurut Human Rights Watch, kekejaman Saleh ke atas kumpulan protes menyaksikan lebih 225 rakyat dibunuh. Namun, kumpulan protes enggan membalasnya dengan cara yang sama.

“Ali mahupun konconya tidak akan berjaya mengheret Yaman ke arah peperangan dan pertelingkahan bersenjata. Kami memilih keamanan walaupun kami boleh meneruskan revolusi ini dengan senjata.

“Tapi kami memilih cara aman dan hanya keamanan yang boleh memberikan kami kejayaan itu.

“Jangan bimbang mengenai Yaman. Yaman asalnya adalah negara aman dan semua ini akan berakhir dalam suasana yang baik dan tenang. Ia akan memulakan negara baru yang lebih bertamadun dan tentera,” tegas Tawakkul.

Suaminya, Mohammed al-Nahmi, sentiasa menemaninya ketika giat menyertai sesi protes jalanan, malah berada di sisinya ketika wanita itu diumumkan sebagai penerima Nobel.

“Dia berhak menerima anugerah ini. Sebelum menjadi isteri saya, dia adalah teman dan sahabat yang sentiasa bergelut untuk masyarakatnya,” ujar al-Nahmi.

Tawakkul, ibu kepada tiga cahayamata, berasal dari Taiz iaitu bandar di selatan Yaman yang terkenal dengan golongan kelas pertengahan dan bijak pandai.

Bapanya, Abdul-Salam Karman, pernah berkhidmat sebagai Menteri Hal Ehwal Perundangan di bawah Saleh sebelum meletak jawatan kerana memprotes korupsi dalam kerajaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/10/20

Saturday, 15 October 2011

Letup paip gas untuk balas dendam kematian ketua media Al-Qaeda



ADEN (Yaman): Ketua Jabatan Media kumpulan Al-Qaeda di Semenanjung Arab terbunuh dalam serangan udara yang dilakukan ke atas pangkalan kumpulan itu di Yaman, semalam.

Menurut Kementerian Pertahanan Yaman, sebagai membalas dendam, ahli kumpulan itu telah meletupkan paip gas yang digunakan untuk mengeksport gas.



Kementerian itu berkata, seorang warga Mesir, Ibrahim al-Banna terbunuh dalam serangan yang dilakukan oleh askar Yaman di kawasan kumpulan radikal itu di wilayah Shabwa yang terletak di selatan Yaman, kelmarin.

Penduduk dan pegawai tempatan percaya, serangan itu dilakukan oleh pesawat negara asing.


Penyerang yang tidak dikenali, dipercayai askar militan, kemudian bertindak meletupkan paip gas - Reuters.



Artikel ini disiarkan pada : 2011/10/15