Thursday, 29 March 2012

Yaman mahu isteri Osama


SANAA: Yaman semalam menggesa Pakistan membebaskan seorang isteri Osama bin Laden yang cedera dengan berkata, wanita kelahiran negara itu, Amal al-Sadeh dan empat anaknya tidak bersalah dalam sebarang jenayah.

Menteri Dalam Negeri Pakistan awal bulan ini berkata, tiga balu Osama, termasuk Amal akan dibicarakan kerana memasuki dan tinggal di negara itu secara haram.


“Pihak berkuasa Pakistan menarik balik keputusan awal mereka untuk menyerahkan Amal kepada kerajaan Yaman,” kata Menteri Luar Yaman, Abu Bakr al-Qirbi kepada media. “Kami menyeru Pakistan menghantar Amal pulang ke negara asalnya. Kami bimbang dengan keadaan anaknya yang masih kecil. Kanak-kanak berkenaan tidak patut dihukum atas kesalahan bapa mereka,” katanya.



Osama yang mengetuai kumpulan al-Qaeda, ditembak mati Mei tahun lalu oleh komando Amerika Syarikat dalam serangan terhadap kediamannya di Abbottabad, Pakistan selepas memburunya selama hampir 10 tahun. Amal dan dua lagi isteri Osama, seorang warga Arab Saudi dan seorang lagi tidak diketahui kerakyatannya, bersama anak mereka yang tidak didedahkan jumlahnya ditahan oleh pihak berkuasa Pakistan selepas serbuan itu.


Seorang saudaranya berkata, Amal yang ditembak di kaki ketika serangan, memasuki Pakistan secara sah. “Dia datang ke Pakistan bersama abangnya pada 2000 menggunakan pasport,” kata sepupu Amal berusia 27 tahun, Hameed al-Sadeh.


“Mereka terbang dari Sanaa ke Karachi. Tiada kesalahan yang dilakukannya. Pihak berkuasa Pakistan, malah telah mengeluarkan salinan pasportnya,” katanya. Hameed yang juga wartawan di Sanaa, berkata, Amal pincang selepas peluru menembusi kakinya. Dia juga mengalami trauma dan menghidap tekanan darah rendah. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/03/28

Monday, 12 March 2012

23 suspek militan Al-Qaeda maut dalam serangan udara AS


SANAA: Serangan udara oleh pesawat pejuang Amerika Syarikat membunuh 23 suspek anggota militan Al-Qaedah di kawasan pergunungan di selatan ibu negara Yaman, semalam.

Sumber keselamatan berkata, “Dua puluh tiga pejuang Al-Qaeda terbunuh dalam tiga serangan udara yang dilancarkan malam kelmarin.”



Beberapa kenderaan dan kereta yang digunakan oleh mereka turut musnah dalam serangan itu.

Katanya, “Anggota militan itu membawa peralatan dan senjata untuk melancarkan serangan ke atas pemerintah wilayah.


Sumber polis turut mengesahkan jumlah mangsa dalam serangan yang dibuat di kawasan pergunungan di wilayah Al-Bayda.


Sumber itu berkata, serangan itu mengenai tiga perkampungan, Al-Makhnaq, Al-Dooqi dan Al-Mamdud di wilayah itu.

Penduduk berkata, serangan udara itu dilakukan oleh pesawat AS.

Menurut mereka, sebelum itu pesawat pejuang melakukan serangan di pinggir bandar, di mana pangkalan anggota militan Ansar al-Sharia yang menentang tentera kerajaan sejak pertengahan tahun lalu, terletak.

Seorang penduduk berkata, “Api dan asap tebal dilihat di situ.”

Tentera Amerika beberapa kali menggunakan pesawat dron untuk menyerang anggota militan kumpulan al-Qaeda di Semenanjung Arab.

Januari lalu, sekurang-kurangnya 12 anggota militan al-Qaeda, termasuk empat ketua tempatan, terbunuh dalam serangan dron di selatan Yaman.

Yaman merupakan negara tanah tumpah keturunan ketua kumpulan Al-Qaeda, Osama bin Laden dan rangkaian jihad yang mengambil peluang daripada pemberontakan antikerajaan tahun lalu untuk merebut jajahan besar di bahagian selatan dan timur. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/03/11