Monday, 5 August 2013

‘Ibu Revolusi’ dihalang memasuki Mesir



Kaherah: Pihak berkuasa lapangan terbang Mesir menghalang pemenang anugerah keamanan Nobel dari Yaman, Tawakul Karman daripada memasuki negara itu, kata sumber semalam.

Agensi berita MENA melaporkan Tawakul sebelum ini menampakkan sokongannya kepada penyokong Mohamed Mursi. Jurucakap Ikhwanul Muslimin pula berkata Tawakul menyertai tunjuk perasaan membantah rampasan kuasa tentera di Kaherah baru-baru ini.


Katanya, Tawakul juga menyertai tuntutan gerakan Islam itu untuk mengembalikan jawatan presiden kepada Mohamed Mursi. Menurut sumber keselamatan, Tawakul dihantar pulang menaiki pesawat sama dia mendarat sebelum berkenaan.



“Nama Tawakul ada dalam senarai orang yang tidak dibenarkan memasuki Mesir,” katanya. Tawakul menjadi simbol kebangkitan rakyat Yaman pada 2011 dan menjadi wanita Arab pertama menerima anugerah keamanan Nobel. Di Yaman Tawakul digelar Wanita Besi dan Ibu Revolusi. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/05

Sunday, 4 August 2013

2 beranak mengemis guna mayat bayi


Sanaa: Pihak berkuasa Yaman menahan seorang lelaki tua dan anak perempuannya yang berusia 41 tahun kerana mengemis menggunakan mayat seorang bayi, lapor media semalam.

Jurucakap polis berkata anak-beranak itu ditangkap ketika mengemis di bandar raya Sanaa bersama mayat bayi itu yang berbungkus.


“Bayi itu dipercayai berusia lima bulan,” katanya. Menurutnya, lelaki itu mendakwa tidak memiliki wang untuk mengebumikan bayi berkenaan. Bagaimanapun lelaki itu mungkin menipu kerana mengikut tradisi di Yaman, jiran setempat akan membiayai kos pengebumian jika ada mana-mana anggota masyarakat terlalu miskin untuk membayarnya. - Agensi



Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/03

Friday, 2 August 2013

Al-Qaeda ikrar bebas pejuang


Dubai: Pemimpin al-Qaeda Ayman al-Zawahri semalam mengecam layanan Amerika Syarikat terhadap tahanan yang mogok lapar di Teluk Guantanamo.

Dalam rakaman audio yang dimuat naik ke Internet, Beliau turut mengancam untuk membebaskan tahanan berkenaan dengan apa cara sekalipun. “Mogok lapar yang dilancarkan saudara kita di Guantanamo mendedahkan keburukan sebenar Amerika Syarikat. Kami bersumpah dengan nama Tuhan bahawa kami akan melakukan apa saja untuk membebaskan semua pejuang kami, khususnya Omar Abdel Rahman, Aafia Siddiqui, Khaled Sheikh Mohammed,” kata Aymanmerujuk kepada militan yang ditahan oleh Amerika Syarikat.


Kira-kira 166 orang yang ditangkap dalam operasi selepas serangan 11 September 2001 ke atas Amerika Syarikat kini ditahan di pangkalan tentera negara itu di Guantanamo Bay, Cuba.



Ramai melancarkan mogok lapar kerana membantah penahanan mereka tanpa bicara. Sebahagian mereka diberi makan secara paksa.


Ayman turut mengecam penggunaan serangan pesawat tanpa juruterbang yang mensasarkan aktivis Islam dengan menyifatkannya sebagai kekalahan kempen Amerika di Afghanistan, Pakistan dan Yaman.


Dalam ucapannya itu, pemimpin al-Qaeda itu juga mengecam pembabitan Hizbullah dengan menyelar pemimpinnya, Hassan Nasrallah dalam perang saudara di Syria. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/01