Saturday, 19 October 2013

Buta tidak halang lengkapkan rukun Islam


Mina: “Buta tidak menghalang saya melihat cahaya keimanan di Tanah Suci. Walaupun buta saya dapat melihat ibadah haji dengan jelas dalam hati saya,” kata Abdul Moneim Naji.

Penduduk Yaman dari kota Hudaidah itu diberi visa haji percuma oleh Konsul Saudi di Yaman.



Dia menunaikan haji kali ke tiga tahun ini.

“Allah menjadikan saya buta sejak lahir untuk meningkatkan keimanan diri ketika hidup dan selepas mati,” katanya yang mempunyai empat adik beradik lain yang buta.

Selepas menamatkan pengajian sekolah rendah, Naji menyertai kelas menghafaz al-Quran dan boleh menghafaz kitab itu dengan sepenuh hati.

“Saya dapat merasakan perbezaan besar perkhidmatan disediakan untuk jemaah haji tahun ini terutama dari aspek pengangkutan, penginapan dan bilik air,” katanya.

Naji bersyukur Allah memberinya ketenangan fikiran menggantikan matanya yang buta.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/19

Friday, 11 October 2013

Siasat budak 12 tahun kahwin


Riyadh: Polis Saudi semalam melancarkan siasatan berhubung perkahwinan secara haram membabitkan gadis berusia 12 tahun di kawasan pedalaman negara itu.

Siasatan itu diarah oleh mahkamah di Samita, 50 kilometer ke selatan Jizan, berhampiran sempadan dengan Yaman berikutan laporan seorang pengetua sebuah sekolah di Kampung Sahi mendapati muridnya sudah berkahwin.


Hakim meminta polis mendapatkan penjelasan daripada bapa murid itu dan suaminya menjelaskan bagaimana perkahwinan itu diatur dan menjelaskan nama orang yang membenarkan ia berlangsung.



“Perkahwinan itu melanggar dua undang-undang. Pertama budak itu bawah umur, baru berusia 12 tahun. Kedua, mereka yang menjadi saksi dan menikahkan pasangan itu berbuat demikian tanpa kebenaran mahkamah. Mereka yang terbabit dalam perkahwinan itu boleh dihukum,” kata seorang peguam, Ebrahim Al Hakami.


“Menurutnya, dari segi undang-undang, perkahwinan itu tidak sah dan terbatal.


Pengetua terbabit menyedari murid itu yang namanya tidak didedahkan, tidak memberi tumpuan kepada pelajaran dan berdepan dengan masalah kesihatan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/10

Wednesday, 2 October 2013

Bina hotel hasil wang mengemis


Sana’a: Seorang lelaki Yaman menghadiahkan isterinya kenderaan pacuan empat roda Toyota Land Cruiser, sekeping tanah selain membina hotel dan pusat beli-belah hasil wang mengemis.

Mohammed Taher yang kini antara lelaki terkaya di sebuah wilayah di Yaman tidak memiliki harta apa pun ketika meninggalkan bandar kelahirannya, Lahij di barat daya negara itu ketika berhijrah ke Arab Saudi pada 2003.


Pada beberapa bulan pertama sewaktu bekerja sebagai tukang kayu di Jeddah, dia mendapati golongan pengemis memperoleh pendapatan lebih lumayan daripadanya.



Menurut laman web berita Yaman Sinbad, Mohammed kemudian mengambil keputusan menjadi pengemis.


“Dalam beberapa bulan pertama dia dapat mengumpulkan sejumlah besar wang hasil pemberian orang ramai,” lapor Sinbad. Mohammed terus mengemis selama 10 tahun hinggalah tahun ini sebelum dia memutuskan untuk pulang ke Yaman selepas mendapati wang yang disimpannya sudah mencukupi.


Perkara pertama dilakukan sebaik pulang ialah membelikan isterinya kenderaan dan sebidang tanah sebagai balasan kerana setia menunggunya, selain menjaga anak mereka sepanjang ketiadaannya. “Mohammed berjaya meraih kekayaan daripada mengemis dan kini dia membina sebuah hotel dan pusat beli-belah,” lapor Sinbad.

Sementara itu, seorang penulis blog Arab Saudi yang terkejut dengan kisah Mohammed mempertikaikan tindakan warga tempatan yang terlalu pemurah.


“Adakah kita sangat polos atau kebaikan kita untuk membantu mereka yang memerlukan sudah keterlaluan,” tulisnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02