SANAA - YAMAN. Presiden Yaman, Abdul Rabbuh Mansur Hadi dan parti politik utama mencapai persetujuan untuk membahagikan negara itu kepada enam wilayah.

Menurut laporan Press TV, keputusan itu dipersetujui selepas mesyuarat bersama sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan akhir bulan lalu dan ditugaskan untuk merangka satu sistem bagi menyelesaikan pertikaian di utara serta selatan Yaman.

Pembahagian wilayah terlibat adalah Azal, Saba, Janad dan Tahama di utara Yaman.

Manakala di bahagian selatan pula, melibatkan wilayah Aden dan Hadramawt.

Bagaimanapun, ahli politik di selatan Yaman menolak perjanjian kerana mendakwa empat wilayah utara akan lebih berkuasa berbanding mereka.

Difahamkan, pelan persekutuan tersebut akan dimasukkan ke dalam Perlembagaan baharu dan referendum dalam tempoh setahun.