FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’, satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: Dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): Makanlah daripada rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadanya, (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan Yang Maha Pengampun! (Saba’: 15)
Syeikh Sya’rawi menyatakan bahawa Allah SWT menggunakan kalimah maskan sebagai kedamaian dan ketenangan. Kemudian diteruskan lagi dengan perkataan ayat yang memberi maksud perkara yang luar biasa yang jarang berlaku atau sebagai tanda kekuasaan Tuhan.
Al-Sabuni berkata dalam ayat ini, Allah SWT menyebutkan tentang nikmat yang dilimpahkan-Nya kepada penduduk Saba’ seperti yang diterangkan oleh Qatadah, kebun buah-buahan mereka mengandungi pelbagai jenis buah-buahan yang rendang dan dijadikan tempat berteduh oleh penduduk negara itu, mana-mana orang lalu di situ dapat mengutip buahnya yang ranum dan lazat tanpa bersusah payah sedikit pun.
Al-Baidawi menyatakan bahawa maksud dua kebun itu bukanlah hanya dua buah kebun, tetapi dua kumpulan kebun. Satu kumpulan di sebelah kanan dan satu kumpulan lagi di sebelah kiri. Kedua-duanya sama-sama subur dan mengeluarkan hasil yang memuaskan. Kedua-dua kebun itu berada dalam jarak yang dekat seakan-akan satu kebun sahaja. (Al-Syeikh Zadah, 3:85 dan al-Zamakhsyari, 3:454)
Sayid Qutub berkata: Saba’ ialah nama satu kaum yang mendiami Selatan Yaman. Perkataan Saba’ memberi maksud kabilah daripada keturunan Saba’ bin Yasjub bin Ya’rub bin Qahtan. Mereka tinggal di satu kawasan bumi yang subur dan sebahagiannya masih kekal sehingga ke hari ini.
Mereka telah mendaki tangga tamadun yang tinggi sehingga mereka dapat mengendalikan air-air hujan yang lebat yang mengalir dari sebelah laut di selatan dan di timur. Mereka telah membina sebuah takungan air yang diapit oleh dua buah bukit dan di muka lembah di antara dua bukit itu mereka binakan sebuah empangan yang boleh dibuka dan ditutup.
Mereka dapat menyimpan air yang banyak di belakang empangan itu dan mereka dapat mengendalikannya mengikut keperluan mereka. Dari empangan ini mereka mendapat punca bekalan air yang amat besar dan terkenal dengan nama empangan Saba’.
Kebun-kebun yang terletak di kanan dan kiri negeri itu melambangkan negeri yang subur, mewah, makmur, senang lenang dan penuh kenikmatan yang indah.
Ini kerana, kebun-kebun itu merupakan bukti yang mengingatkan kepada Allah Yang Maha Pemurah. Kaum Saba’ telah disuruh supaya menikmati rezeki-rezeki yang dikurniakan Allah SWT itu dengan bersyukur.
Saba’ juga merupakan sebuah negeri yang mendapat nikmat kemakmuran di bumi dan mendapat keampunan di langit. Oleh itu, apakah yang menghalangi mereka daripada memuji dan bersyukur kepada Allah SWT? Akan tetapi mereka tidak bersyukur dan tidak pula mengingati Allah SWT.
Baldatun toyyibah
Perkataan baldatun toyyibah memberi maksud negeri yang baik yang tiada padanya sebarang kering kontang dan perkara yang menyakitkan. Menariknya, ayat yang seterusnya disebut dengan wa rabbun ghafur di mana negeri Saba’ mempunyai 13 perkampungan besar dan Allah SWT mengutuskan mereka 13 orang Nabi, tetapi malangnya mereka mendustakannya.
Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi berkata: “Digabungkan dengan wa rabbun ghafur seolah-olah memberi maksud negeri yang baik mestilah membawa kepada akhirat dalam meraih mardhatillah dan keampunannya."
Ertinya kesepaduan antara kehebatan dan tamadun dunia seiring dengan ketinggian roh maknawi untuk beribadat kepada Yang Maha Esa.
Terminologi baldatun toyyibah adalah berakar daripada al-Quran ketika Allah SWT menggambarkan kemakmuran sesebuah negeri yang bernama Saba’. Secara literal, baldatun toyyibah memang bermaksud negara yang baik.
Hakikatnya, negara yang baik terhasil daripada pemerintahan yang baik. Justeru, terminologi ini mungkin dapat diertikan sebagai sebuah negeri yang berasaskan kepada good governance yang melahirkan civil society dalam istilah politik moden berasaskan ciri-ciri yang digariskan oleh al-Tabari ketika mentafsirkan ayat ini: Negara yang mendapat keampunan Allah SWT.
Justeru, rakyatnya yang diberikan kemakmuran, lantaran ketaatan mereka kepada perintah Allah SWT dan tercegah daripada maksiat.
Hal ini bertepatan dengan ayat yang mengklasifikasikan umat Nabi Muhammad SAW ini sepatutnya sebagai umat yang terbaik.
Ketika mengupaskan tentang iklim kehidupan intelektual di Andalusia, Prof. Dr. Wan Mohd. Nor menulis: “Ramai di antara kita sentiasa berbangga dengan pencapaian agung umat Islam terdahulu, sama ada di Andalusia atau di tempat-tempat lain, tetapi tidak begitu ramai yang mahu meninjau secara ilmiah akan iklim dan faktor-faktor yang memungkinkan terlahirnya hasil yang sedemikian agung.
“Jika kita ingin membangunkan sesebuah masyarakat, bangsa dan tamadun yang agung, kita harus jugalah cuba memahami iklim dan mengenal pasti faktor-faktor tersebut dan berusaha mencipta sebaik mungkin iklim dan faktor-faktor yang serupa, setelah mengambil kira perbezaan tempat dan zaman."
Semoga Malaysia menjadi sebuah negara idaman yang layak ditabal sebagai Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140411/ba_01/Iktibar-dari-Saba'#ixzz33D8NoFEj
© Utusan Melayu (M) Bhd