SANAA 10 Julai - Lebih 35,000 orang penduduk di wilayah Omran di Yemen menjadi pelarian, selepas pengikut Syiah menawan bandar itu yang menyaksikan lebih 200 orang terkorban.
Dalam surat rayuan yang dihantar kepada organisasi kemanusiaan di Yemen, Ketua Agensi Pelarian di Omran, Mutahhar Yahya Abu Sheeha berkata, beribu-ribu orang dari Omran menjadi pelarian selepas bandar itu jatuh ke tangan pengikut Syiah.
"Berdasarkan pemantauan dan susulan yang kami lakukan lebih 35,000 orang meninggalkan beberapa kawasan di Omran atau ke kawasan Sanaa, Hajja dan Mahaweet," kata Mutahhar dalam surat tersebut.
Beliau berkata, kebanyakan keluarga pelarian itu kini tinggal di kawasan terbuka tanpa perlindungan dan memerlukan bantuan kemanusiaan. - REUTERS
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140711/lu_10/35000-jadi-pelarian-di-Yemen#ixzz376lgBQrg
© Utusan Melayu (M) Bhd