Sunday, 31 July 2016

Kerajaan Yaman terima cadangan damai PBB

AHAD, 31 JULAI 2016 @ 1:55 PM

  PRESIDEN Yaman, Aberabbo Mansour Hadi. - Foto Reuters

KUWAIT CITY: Kerajaan Yaman menyatakan hari ini ia sudah menerima cadangan perjanjian damai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menamatkan konflik bersenjata lebih setahun, namun tiada maklum balas daripada pemberontak.

Pengumuman oleh kerajaan yang disokong Arab Saudi itu dibuat selepas satu mesyuarat peringkat tinggi di ibu negara Kuwait yang dipengerusikan oleh Presiden Yaman, Aberabbo Mansour Hadi. "Mesyuarat itu meluluskan draf perjanjian yang dikemukakan PBB yang menggesa untuk penamatan konflik bersenjata dan pengunduran (pemberontak) dari Sanaa dan kota-kota Taez dan Al-Hudaydah," menurut satu kenyataan selepas mesyuarat itu yang dipetik oleh agensi berita Saba.

 Menteri Luar Yaman, Abdulmalek al-Mikhlafi, yang mengetuai pasukan rundingan kerajaan, berkata beliau sudah menghantar surat kepada wakil khas PBB memaklumkan bahawa kerajaan menyokong "Perjanjian Kuwait." Bagaimanapun, satu prasyarat adalah Houthi dan pasukan yang setia kepada bekas Presiden Ali Abdullah Saleh yang disokong Iran, perlu menandatangani perjanjian itu pada 7 Ogos.

Tiada sebarang reaksi rasmi berhubung perjanjian itu oleh pemberontak. Jurucakap Houthi, Mohammed Abdulsalam, berkata di Twitter sebelum pengumuman kerajaan bahawa pemberontak mendesak penyelesaian yang menyeluruh dan lengkap, dan menolak apa yang dipanggil "penyelesaian sebahagian."

Menurut kerajaan, satu dialog politik antara pelbagai puak Yaman akan bermula 45 hari selepas pengunduran pemberontak. Wakil khas PBB, Ismail Ould Cheikh Ahmed, semalam berjaya melanjutkan perbincangan selama seminggu selepas delegasi kerajaan itu berkata ia akan beredar dan mengemukakan draf perjanjian damai kepada kedua-dua pihak.

Kelulusan itu juga dibuat beberapa jam selepas tujuh tentera Arab terbunuh dalam pertempuran sempadan dengan pemberontak Yaman. Lebih 6,400 orang terbunuh tanah Semenanjung Arab sejak tentera pakatan yang dipimpin Arab campur tangan pada Mac tahun lalu untuk menyokong kerajaan Hadi.

Sejumlah 2.8 juta orang lagi menjadi pelarian dan lebih 80 peratus daripada penduduk amat memerlukan bantuan kemanusiaan, menurut perangkaan PBB. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/178673

Tujuh Tentera Arab Terbunuh Dalam Pertempuran Di Sempadan Yaman


Diterbitkan: Ahad, 31 Julai 2016 9:49 AM

SEORANG pegawai tentera Arab dan enam askarnya terbunuh dalam satu pertempuran dengan pemberontak Yaman yang cuba menyelinap masuk ke sempadan negara itu pada Sabtu.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan agensi berita SPA, pemberontak syiah Huthi dan disokong tentera yang setia kepada bekas presiden Ali Abdullah Saleh cuba menyusup masuk ke sempadan kawasan selatan Najran.
"Pegawai bersama enam anggota tentera Arab telah mati syahid," kata tentera campuran yang dipimpin Riyadh sambil menambah bahawa pesawat perang Arab telah berjaya mematahkan serangan penyerang.
Selain itu, mereka mendakwa bahawa berpuluh-puluh pemberontak turut terbunuh.
Terdahulu lima pengawal sempadan Arab Saudi terbunuh dalam pertempuran di sempadan yang sama di kawasan Najran, pada Isnin.
Di Selatan Arab Saudi terutamanya kawasan sempadan Yaman telah diserang beberapa kali sejak Riyadh mengambil alih sekutu tentera Arab pada Mac 2015 bagi memerangi pemberontak syiah Huthi yang cuba mengawal utara Yaman.

Imam ditembak mati di selatan Yaman

Tembak



SANAA - YAMAN. Sekumpulan lelaki bersenjata tidak dikenali didakwa menembak mati seorang imam di bandar Aden, selatan Yaman.

Laman berita Huna Aden melaporkan Sheikh Abdulrahman al-Zuhri diserang menggunakan senjata api yang dipasang alat penyenyap ketika dia mahu meninggalkan Masjid al-Rahman selepas selesai mengimamkan solat Subuh, semalam.

Mangsa bagaimanapun meninggal dunia di hospital akibat kecederaan yang dialaminya.

Di ibu negara, satu letupan bom tangan dilaporkan berlaku di luar sebuah masjid ketika jemaah selesai menunaikan solat Zuhur.

Difahamkan, tiada kematian atau kecederaan dalam insiden itu dan tiada pihak mengaku bertanggungjawab mendalangi serangan di kawasan parkir kenderaan di Masjid Bilal di barat Sanaa terbabit. - Press TV

Houthi, kerajaan bertempur, lapan maut


30 JULAI 2016
Houthi, kerajaan bertempur, lapan maut
Houthi, kerajaan bertempur, lapan maut
SANAA - YAMAN. Lapan terbunuh manakala 17 lagi cedera dalam satu serangan bom dan pertempuran antara kumpulan pemberontak Houthi dan pasukan keselamatan pro kerajaan, lapor Anadolu Agency.

Tiga daripadanya orang awam dan empat yang lain cedera apabila bom diletupkan berdekatan pasar dekat kawasan Taiz.

Sementara lima lagi yang terbunuh daripada kumpulan pemberontak Houthi  manakala lapan lagi dilaporkan cedera.

Sejak 2014 Yaman huru-hara apabila puak Houthis dan sekutunya menakluki bandar Sanaa dan beberapa kawasan lain memaksa Presiden, Abd Rabbuh Mansour Hadi dan kerajaan sementaranya yang disokong Arab Saudi melarikan diri ke Riyadh.

Mac lalu, Arab Saudi dan sekutunya melancarkan kempen operasi tentera di Yaman mensasarkan kumpulan pemberontak Houthi untuk mengembalikan kerajaan Hadi.

Wednesday, 20 July 2016

Dua warga Yaman maut



FOTO ihsan PDRM


Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my


Georgetown: Dua lelaki Arab warga Yaman berusia 30-an maut manakala dua wanita Thailand parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan merempuh tembok pembahagi jalan sebelum terbakar dalam kemalangan di Jalan Tanjung Bungah di sini, awal pagi tadi.

Kemalangan jam 3 pagi itu membabitkan sebuah kereta Proton Waja dipandu lelaki warga Arab berusia 30 tahun Alammar Ghamdan Abdulkarem bersama tiga penumpang termasuk rakan senegaranya Nader Hasam Yahya Qaid, 34, serta dua wanita warga Thailand.


Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kemalangan berlaku di Jalan Tanjung Bungah menghala ke Batu Feringghi berhampiran Kelab Renang Pulau Pinang.

Beliau berkata, siasatan mendapati kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh tembok pembahagi jalan serta tiang lampu dan akibat rempuhan kuat itu, kereta berkenaan terbakar.

"Siasatan mendapati pemandu kereta itu tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga lagi penumpang yang dilaporkan parah dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.

"Bagaimanapun, penumpang lelaki warga Arab itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke HPP manakala dua lagi penumpang wanita warga Thailand dilaporkan parah," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 4:51 PM