Saturday, 28 April 2012

Arab Saudi terima waris Osama atas faktor kemanusiaan


RIYADH: Arab Saudi membenarkan tiga balu Osama bin Laden dan anak mereka masuk ke negara itu atas dasar kemanusiaan, lapor akhbar semalam.

Memetik kenyataan pegawai kanan, akhbar berpangkalan di London, Asharq al-Awsat, melaporkan kerajaan yakin waris ketua al-Qaeda itu tidak terbabit dalam operasi kumpulan pelampau.


Menurut sumber, ketiga-tiga balu Osama - dua warga Arab Saudi dan seorang Yaman - tiba di negara itu semalam bersama 10 anak mereka selepas diusir dari Pakistan.



Bagaimanapun, Arab Saudi berdiam diri dalam isu berkenaan dan sehingga petang semalam, tidak membuat sebarang pengesahan mengenai kedatangan waris Osama itu.


Sementara itu, Duta Yaman ke Pakistan, Abdo Abdulrahman, berkata isteri dan anak Osama itu tiba di Arab Saudi pagi semalam.


Katanya, mereka mendarat di Arab Saudi menaiki pesawat peribadi disediakan keluarga Osama. “Isteri muda Osama, Amal al-Sadaa, dijangka pulang ke negara asalnya, Yaman, selepas kerajaan membenarkannya membuat kunjungan singkat ke atas keluarga mentuanya,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/28

Thursday, 19 April 2012

Waris Osama diusir


ISLAMABAD: Keluarga Osama bin Laden dijangka diusir dari Pakistan awal pagi ini, kata peguam mereka dan pegawai perisikan, semalam.

Tiga balu perancang insiden 11 September serta anak mereka ditahan pihak berkuasa Pakistan selepas pemimpin al-Qaeda warga Arab Saudi itu dibunuh komando Amerika Syarikat dalam operasi khas di Abbottabad, utara Islamabad, Mei tahun lalu.


Pengumuman itu dibuat ketika Washington dan Islamabad cuba memulihkan semula hubungan diplomatik kedua-dua negara yang terjejas apabila tempat persembunyian Osama rupa-rupanya terletak tidak jauh dari akademi tentera Pakistan.



Dua minggu lalu, mahkamah mengarahkan balu dan dua anak perempuan Osama ditahan 45 hari kerana memasuki Pakistan secara haram dan diusir secepat mungkin. Mereka menyempurnakan hukuman itu - dalam sebuah vila khas dijadikan penjara kecil - semalam sleepas penahanan dibuat secara rasmi pada 3 Mac lalu.


Peguam, Muhammad Aamir, berkata selepas jam 12 tengah malam (waktu Pakistan), mereka boleh diusir pada bila-bila masa.


Katanya, pengusiran itu membabitkan 12 ahli keluarga Osama, termasuk tiga balu, lapan anak dan seorang cucu.

“Mereka mungkin ke Arab Saudi, kecuali balu ketiga Osama akan pulang ke negaranya, Yaman dengan lima anaknya,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/18

Friday, 13 April 2012

TV siar gambar keluarga Osama


LONDON: Rangkaian televisyen Arab, Al Arabiya semalam mendakwa memperoleh rakaman di ‘rumah tetamu’ di Islamabad, tempat isteri dan anak Osama bin Laden ditahan.

Keluarga bekas pemimpin al-Qaeda itu ditahan di rumah berkenaan hampir setahun lalu selepas komando tentera Amerika Syarikat menembak mati Osama.




Video itu menunjukkan kanak-kanak bermain dengan patung beruang dan kayu kriket sementara tiga isteri Osama memantau mereka atau asyik membaca kitab suci al-Quran.

Keluarga itu kini menjalani hukuman tahanan 45 hari kerana kesalahan memasuki Pakistan secara haram.

Bagaimanapun, realitinya, mereka dikurung di rumah itu sejak Mei lalu.

Mereka tinggal bersama Osama ketika kediaman mereka diserang komando AS.

Peguam mereka, Mohammed Amir Khalil, berkata pihak berkuasa Pakistan menahan ketiga-tiga wanita itu secara rasmi pada 3 Mac dan mereka akan ditahan selama dua minggu sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing bersama anak-anak mereka.

Dua balu Osama ialah warga Arab Saudi manakala seorang lagi rakyat Yaman.

Khalil berkata, Yaman memberi kebenaran wanita warganya kembali ke negara berkenaan tetapi beliau masih berbincang dengan pegawai Arab Saudi mengenai kedudukan dua lagi balu Osama.

Arab Saudi menarik balik kewarganegaraan Osama pada 1994 selepas dia mengecam keluarga diraja.


Selain dipenjara, ketiga-tiga wanita itu dikehendaki membayar denda sebanyak 70 pound (RM342) setiap seorang.

Peguam mereka tidak bercadang untuk membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.

Amal al-Sadeh yang dilahirkan di Yaman, balu termuda dan empat anaknya adalah antara 16 yang ditahan oleh pihak berkuasa Pakistan yang menyerbu rumah itu selepas pembunuhan Osama. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/12

Wednesday, 4 April 2012

Isteri, anak Osama dijel



ISLAMABAD: Mahkamah Pakistan semalam menjatuhkan hukuman penjara 45 hari kepada tiga balu Osama bin Laden dan dua anak perempuannya kerana tinggal di negara itu secara haram.

Mahkamah juga mengarakan mereka dihantar pulang secepat mungkin selepas menjalani hukuman itu. Peguam mereka, Muhammad Aamir berkata, tempoh hukuman bermula 3 Mac lalu ketika mereka ditahan secara rasmi atas dakwaan memasuki dan menetap di Pakistan secara haram. Mereka akan terus ditahan di vila mereka di Islamabad. “Setiausaha Kementerian Dalam Negeri sudah diarah untuk mengatur penghantaran pulang,” kata Muhammad kepada wartawan di luar kediaman mereka, tempat balu ketua al-Qaeda itu tinggal dan diisytiharkan pihak berkuasa sebagai sebahagian dari penjara. “Saya rasa ia akan selesai mungkin dalam masa dua minggu,” katanya.


Zakarya Ahmad al-Fattah, adik balu ketiga Osama, Amal dari Yaman mengesahkan mengenai hukuman itu dan berkata, hakim turut mengenakan denda 10,000 rupee (RM330) setiap seorang untuk urusan penghantaran pulang.



“Mahkamah juga mengarahkan kerajaan mengatur dokumen perlu untuk urusan penghantaran pulang,” kata Zakarya kepada wartawan. Dua balu Osama yang lain ialah warga Saudi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/03