Thursday, 19 April 2012

Waris Osama diusir


ISLAMABAD: Keluarga Osama bin Laden dijangka diusir dari Pakistan awal pagi ini, kata peguam mereka dan pegawai perisikan, semalam.

Tiga balu perancang insiden 11 September serta anak mereka ditahan pihak berkuasa Pakistan selepas pemimpin al-Qaeda warga Arab Saudi itu dibunuh komando Amerika Syarikat dalam operasi khas di Abbottabad, utara Islamabad, Mei tahun lalu.


Pengumuman itu dibuat ketika Washington dan Islamabad cuba memulihkan semula hubungan diplomatik kedua-dua negara yang terjejas apabila tempat persembunyian Osama rupa-rupanya terletak tidak jauh dari akademi tentera Pakistan.



Dua minggu lalu, mahkamah mengarahkan balu dan dua anak perempuan Osama ditahan 45 hari kerana memasuki Pakistan secara haram dan diusir secepat mungkin. Mereka menyempurnakan hukuman itu - dalam sebuah vila khas dijadikan penjara kecil - semalam sleepas penahanan dibuat secara rasmi pada 3 Mac lalu.


Peguam, Muhammad Aamir, berkata selepas jam 12 tengah malam (waktu Pakistan), mereka boleh diusir pada bila-bila masa.


Katanya, pengusiran itu membabitkan 12 ahli keluarga Osama, termasuk tiga balu, lapan anak dan seorang cucu.

“Mereka mungkin ke Arab Saudi, kecuali balu ketiga Osama akan pulang ke negaranya, Yaman dengan lima anaknya,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/18

No comments:

Post a Comment