• Anggota penyelamat berkawal dan berusaha mencari mayat di tempat kejadian di Sanaa, Yaman.Anggota penyelamat berkawal dan berusaha mencari mayat di tempat kejadian di Sanaa, Yaman.
SANAA - Cubaan untuk membunuh Menteri Pertahanan Yaman, Mohammed Nasser Ahmed gagal selepas terselamat dari lemparan bom yang disasarkan ke arah kenderaannya ketika melalui ibu pejabat kerajaan.
Namun, kejadian itu telah meragut 10 nyawa, termasuk tujuh pengawalnya.
Pegawai keselamatan berkata, serangan itu dipercayai berlaku sehari selepas Kementerian Pertahanan Yaman melaporkan ketua Al-Qaeda di Semenanjung Arab, Saeed al-Shehri terbunuh dalam operasi ketenteraan di timur negara itu.
“Kami yakin bom tersebut disasarkan kepada menteri pertahanan,” katanya.
Sementara itu, media tempatan melaporkan, sejurus kejadian tersebut, satu lagi letupan kuat menggegarkan kawasan berdekatan ibu pejabat Kabinet dan pusat penyiaran televisyen tempatan, apabila sebuah kereta yang sarat dengan bom meledak di kawasan terbabit.