Monday, 2 May 2016

Houthi tawan kem tentera



ANGGOTA tentera memadamkan kebakaran sebuah trak di tengah bandar raya Aden, semalam. Serangan bom trak itu menyasarkan ketua keselamatan Aden, kali kedua dalam seminggu.

Kaherah: Pemberontak Houthi dan sekutu bersenjatanya menawan sebuah pangkalan tentera di utara Sanaa, semalam, memberi tamparan kepada gencatan senjata serta menjejaskan rundingan damai di Kuwait yang bertujuan menamatkan peperangan di negara itu.

Tidak seperti kebanyakan tentera Yaman, askar di pangkalan Umaliqa selama ini enggan memihak kepada sesiapa dalam perang saudara antara Houthi yang bersekutu dengan Iran dan tentera kerajaan.

Perang saudara itu memuncak apabila pakatan tentera yang diketuai Arab Saudi campur tangan Mac tahun lalu.


Houthi yang berfahaman Syiah akur dengan sikap berkecuali tentera di pangkalan di wilayah Amran itu. Bagaimanapun, ia melancarkan serangan mengejut awal pagi tadi.

Beberapa askar yang mempertahankan pangkalan itu terbunuh dalam serangan berkenaan yang turut menyaksikan pemberontak terbabit merampas beberapa senjata berat.

Menteri Luar, Abdel Malek al-Mekhlafi yang juga perunding kanan kerajaan Yaman ke rundingan damai di Kuwait berkata, tindakan itu sudah pasti menjejaskan perbincangan berkenaan.

Dia berikrar kerajaan akan bertindak terhadap jenayah Houthi itu.

Rundingan damai berkenaan dikatakan mencatatkan kemajuan sejak beberapa hari lalu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2016 @ 11:11 AM

No comments:

Post a Comment