
Kosmo! Online - Dunia: "AFP - SEBUAH pos pemeriksaan di pinggir bandar Mukalla.
ADEN – Gelombang pengeboman berani mati yang menjadikan tentera Yemen sebagai sasaran membunuh sekurang-kurangnya 42 orang di bandar Mukalla kelmarin, kata beberapa pegawai.
Mukalla merupakan ibu negeri wilayah Hadramawt dan terletak di tenggara Yemen.
Bandar itu dikuasai kumpulan Al-Qaeda selama setahun sebelum ditawan semula oleh tentera kerajaan yang disokong pakatan Arab Saudi, April lalu.
Namun, kumpulan militan lain, Islamic State (IS) mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan kali ini.
IS menyatakan, lapan pengebom berani matinya membunuh 50 anggota pasukan keselamatan Yemen, menurut Kumpulan Perisikan SITE.
“Mukalla menyaksikan lima serangan berani mati di empat kawasan,” kata Gabenor Hadramawt, Ahmed Saeed Breyk.
Menurut seorang pegawai keselamatan, tiga pengeboman serentak menggegarkan pos pemeriksaan di Mukalla pada waktu Maghrib ketika askar-askar sedang berbuka puasa.
“Dalam serangan pertama, seorang pengebom berani mati menaiki sebuah motosikal bertanya kepada sekumpulan askar sekiranya dia boleh berbuka puasa bersama mereka sebelum meletupkan dirinya,” kata pegawai itu.
Dua pengebom berani mati lain menghampiri sebilangan askar di bandar itu dan meletupkan bahan letupan di badan mereka.
“Sejurus selepas itu, dua lagi pengebom berani mati melancarkan serangan keempat dan meletupkan diri mereka di hadapan pintu masuk sebuah kem tentera,” kata pegawai sama.
Ketua perubatan Hadramawt, Riad Al-Jalili berkata, serangan itu yang menyebabkan 40 askar maut turut meragut nyawa seorang wanita dan kanak-kanak yang kebetulan melalui lokasi kejadian selain mencederakan 37 orang.
Al-Qaeda masih kuat di Mukalla dengan pejuang-pejuangnya menguasai beberapa bandar di Wadi Hadramawt. – AFP"
'via Blog this'