Monday, 1 August 2016

Pemberontak Yaman tolak pelan damai PBB

ISNIN, 1 OGOS 2016 @ 7:53 AM


KUWAIT: Pemberontak Yaman semalam menolak pelan damai yang dicadangkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sebelum ini diterima oleh kerajaan negara itu.

Penolakan itu atas alasan sebarang pelan usaha ke arah perdamaian mesti diselesaikan terlebih dahulu oleh kerajaan perpaduan yang dibentuk.

"Apa yang dibentangkan oleh Wakil Khas PBB tidak lebih sekadar idea mengenai aspek keselamatan dan ia bergantung kepada perbahasan seperti cadangan lain," kata delegasi mewakili pemberontak dalam satu kenyataan di Kuwait, hari ini.

Kenyataan yang dipetik agensi berita tempatan mendakwa, kerajaan Yaman yang mengumumkan deraf penyelesaian berkenaan tidak lebih daripada publisiti media untuk menggagalkan rundingan berkenaan.


Kumpulan pemberontak yang disokong Iran menegaskan isu yang masih berpanjangan iaitu tuntutan pembentukan kuasa eksekutif yang baharu termasuk presiden dan kerajaan baharu mesti diselesaikan terlebih dahulu.

Tuntutan itu termasuk syarat yang dikenakan pemberontak iaitu menyingkirkan presiden yang diterima antarabangsa, Abedrabbo Mansour Hadi.

Bagaimanapun, delegasi pemberontak Yaman masih mengalu-alukan pelan cadangan yang dibawa Wakil Khas PBB, Ismail Ould Cheikh Ahmed untuk menangguhkan rundingan kepada minggu depan.

Sebelum itu, kerajaan Yaman pimpinan Hadi menerima cadangan PBB agar pemberontak Huthi mesti berundur dari ibu negara, Sanaa dan dua bandar raya besar lain selepas menguasainya sejak September 2014. - AFP

No comments:

Post a Comment