![]() |
ADEN, Yemen – Satu serangan berani mati menggunakan bom kereta di sebuah kem latihan tentera di bandar kedua terbesar di Yemen, Aden, mengakibatkan sekurang-kurangnya 60 orang maut semalam, kata sumber perubatan.
Seorang anggota keselamatan memberitahu agensi berita AFP bahawa penyerang memandu kenderaannya lalu me- rempuh perhimpunan rekrut baharu di kem tersebut di utara Aden.
Letupan itu mengorbankan 60 orang, manakala 29 lagi cedera, menurut sumber perubatan tiga buah hospital yang menerima mangsa-mangsa serangan.
Terdahulu, pasukan keselamatan berkata, angka kematian awal ialah 11 orang.
Bandar Aden menyaksikan banyak serangan bom dan tembakan yang disasarkan terhadap pihak berkuasa dan pasukan keselamatan.
Bandar pelabuhan itu menjadi pusat pentadbiran sementara kerajaan Yemen yang disokong negara-negara Teluk.
Serangan di Aden kerap didalangi kumpulan militan sama ada Al-Qaeda atau Daesh yang mengambil kesempatan ke atas keadaan huru-hara di Yemen untuk menawan sebahagian kawasan di selatan dan tenggara negara itu.
Namun, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab ke atas serangan semalam.
Pihak berkuasa Yemen telah melatih ratusan askar di Aden sejak dua bulan lalu sebagai persiapan untuk menawan semula wilayah yang dikuasai kumpulan militan.
Pada awal bulan ini, kerajaan Yemen yang disokong pakatan tentera diketuai Arab Saudi memasuki ibu negeri wilayah Abyan, Zinjibar.
Tentera Yemen turut menawan kembali bandar-bandar di serata Abyan tetapi menerima tentangan hebat di kubu kuat Al-Qaeda, Al-Mahfid, kata sumber keselamatan.
Lebih daripada 6,600 orang, kebanyakannya penduduk awam, terbunuh di Yemen sejak Mac 2015 dengan lebih 80 peratus penduduk memerlukan bantuan kemanusiaan, demikian menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0830&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz4ImmKWSbB
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment