Tuesday, 30 August 2016

60 terbunuh di Aden



PENDUDUK Aden melihat kemusnahan akibat serangan bom kereta di sebuah pusat pengambilan rekrut di bandar itu, semalam. - AFP


Agensi
Aden: Satu serangan bom kereta di sebuah pusat pengambilan rekrut di tengah bandar raya ini menyebabkan sekurang-kurangnyya 60 orang terbunuh.

Kumpulan pengganas Daish mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian itu beberapa jam kemudian.

Aden ialah pangkalan sementara kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa dan terbabit dalam peperangan dengan pemberontak Houthi selain Daish dan al-Qaeda di negara itu sejak lebih setahun lalu.

Pegawai keselamatan berkata, penyerang memandu kenderaan yang membawa bahan letupan ketika rekrut tentera berkumpul di sebuah sekolah di utara Aden, awal pagi semalam (waktu tempatan).

Meskipun sekolah itu berkunci ketika rekrut mendaftarkan diri, penyerang terbabit memecut kenderaannya masuk ke kawasan itu apabila pintu pagar dibuka untuk membolehkan sebuah trak membawa makanan masuk.

Saksi berkata, sebahagian mangsa tertimbus apabila bumbung bangunan menghempap mereka selepas letupan itu.

Keganasan itu meragut sekurang-kurangnya 60 nyawa sementara 29 lagi cedera, menurut sumber tiga hospital tempat mangsa dihantar.

Mereka bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada yang terbunuh itu semua rekrut.

Aden menyaksikan beberapa siri pengeboman dan tembakan yang menyasarkan pegawai dan pasukan keselamatan.

Al-Qaeda dan Daish yang mengambil kesempatan dengan kekacauan di Yaman untuk mengembangkan penguasaan mereka di selatan dan tenggara negara itu sering mengaku bertanggungjawab terhadap serangan di Aden.

Menurut laporan lain, rekrut dalam serangan semalam dalam proses mendaftarkan diri untuk dihantar ke Arab Saudi bagi menjalani latihan memerangi pemberontak Houthi yang menguasai utara Yaman dan ibu negara, Sanaa.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 10:51 AM

No comments:

Post a Comment