11 September 2016 12:16 AM
BUDAK tersebut yang dirawat di sebuah hospital di bandar pelabuhan Laut Merah, Houdieda, ditemani ibunya di Yemen kelmarin. REUTERS
SANAA 10 Sept. - Beberapa keping gambar seorang budak lelaki yang kurus kering kerana tidak cukup makan akibat peperangan di Yemen, menyentuh hati masyarakat antarabangsa serta memperlihatkan kesan buruk pergolakan di negara ini kepada golongan kanak-kanak.
Dua keping gambar disiarkan Mail Online menunjukkan keadaan kanak-kanak tersebut yang tinggal rangka di sebuah hospital di bandar pelabuhan Laut Merah, Houdieda.
Dengan hanya memakai lampin, tulang rusuk budak itu jelas kelihatan, kulit tubuhnya kecut serta dia kelihatan tidak bermaya.
Satu lagi gambar memaparkan budak tersebut duduk bersama ibunya di atas katil hospital tersebut sambil sikunya berbalut.
Gambar-gambar berkenaan didedahkan ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin merayu semua pihak bertelagah di Yemen menghentikan pertempuran bagi membolehkan bantuan kemanusiaan diagihkan di kawasan terlibat.
Dalam kenyataannya PBB menjelaskan, ketiadaan rundingan damai hanya akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Yemen.
Pemberontak Houthi menawan ibu negara Yemen, Sanaa pada akhir 2014, sebelum mara ke beberapa bahagian lain Yemen, memaksa tentera perikatan untuk campur tangan dalam konflik di Yemen pada Mac tahun lalu.
Lebih 6,600 kebanyakannya penduduk awam terbunuh sepanjang konflik berlangsung.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kurus-kering-akibat-konflik-perang-yemen-1.381287#sthash.J3GKiwv4.dpuf