Tuesday, 21 June 2011

Keistimewaan kerajaan Saba'


Empangan ma'arib adalah nadi kehidupan kaum Saba'.


DALAM kisah Nabi Sulaiman a.s, diceritakan bahawa baginda mengajak seorang Ratu (pemerintah) dari sebuah negeri untuk mengikuti agamanya, iaitu hanya menyembah Allah SWT dan bukan yang lain (maksud al-Quran, al-Naml: 10-44).
Negeri itu adalah Saba' dan ratunya bernama Balqis. Kisah tentang negeri Saba' dan penduduknya terdapat di dalam al-Quran, iaitu surah Saba' ayat 15-21. Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 54 ayat.
Dinamakan surah Saba' (perihal penduduk Saba'), kerana kisah mereka ada disebutkan pada ayat-ayat 15 hingga 21. Pada awal surah ini, Allah menegaskan segala puji bagi-Nya kerana Dialah yang menciptakan dan menguasai seluruh alam.
Dialah yang maha melimpah nikmat-Nya dan rahmat-Nya kepada sekalian makhluk-Nya di alam kehidupan ini, dan yang maha melimpah nikmat-Nya dan rahmat-Nya kepada orang-orang beriman pada hari akhirat.
Setelah menolak fahaman kaum kafir musyrik yang menentang Nabi Muhammad SAW dan yang tidak percayakan kedatangan hari kiamat, dan setelah menerangkan keistimewaan-keistimewaan pada nabi-nabi yang telah lalu.
Maka Allah SWT memberi amaran kepada golongan musyrik itu, jika mereka masih berdegil dengan kekufuran, maka mereka akan dibinasakan sebagaimana penduduk negeri Saba' kerana mereka kufur ingkar.
Kemudian Allah menujukan firman-Nya kepada Nabi SAW dan menerangkan bahawa baginda diutus kepada umat manusia seluruhnya sebagai rasul pembawa berita gembira kepada orang-orang yang beriman dan pemberi amaran kepada orang yang ingkar.
Sebagai penutup, digambarkan keadaan orang yang bersalah pada hari kiamat. Mereka kelihatan cemas takut dan gerun gementar apabila menyaksikan azab seksa yang disediakan untuk mereka.
Semasa mereka diseret untuk menerima balasan, mereka berkata: "Sekarang kami beriman…" tetapi pengakuan mereka yang demikian tidak ada gunanya kerana tempat beriman ialah di dunia, sedang mereka telah terpisah dari dunia dan tidak mungkin kembali lagi.
Dalam surah tersebut dijelaskan bahawa negeri Saba' dikurniai Allah SWT dengan kemewahan, dengan tanah yang subur sehingga penduduknya hidup dengan aman makmur. Allah SWT berfirman yang bermaksud:… (Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan yang Maha Pengampun. (Saba': 15).
Namun, kerana ingkar kepada Allah SWT, penduduk Saba' ditimpa azab berupa banjir besar yang menghancurkan negeri mereka. Kisah pengingkaran kaum Saba' dan turunnya azab Allah SWT ini terjadi setelah Ratu Balqis mengikuti agama Nabi Sulaiman a.s.
Sebuah hadis sahih daripada Ibnu Abbas menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya seseorang, yang bermaksud: "Apakah Saba' itu nama negeri atau nama seseorang?" Nabi menjawab, "Dia adalah manusia beranak 10. Enam tinggal di Yaman dan empat di Syam. Yang di Yaman ialah Mudzhij, Kindah, Alazad, Asa'ariyum, Anmar dan Himyar. Yang di Syam adalah Lakham, Judzam, Amilah dan Ghassan".
Nenek moyang mereka dikatakan berasal daripada kabilah-kabilah Arab Yaman. Asal kediaman mereka bernama Saba', kemudian menjadi nama negeri atau kerajaan dengan ibu kota Maarib.
Kerajaan Saba' pernah dipimpin oleh seorang Ratu yang bernama Balqis. Kepimpinan Balqis menunjukkan bahawa seorang wanita boleh terlibat dan berperanan dalam mengelola pemerintahan.
Balqis termasuk seorang Ratu yang bijaksana, suka berunding dan berdamai. Negeri Saba' yang dipimpinnya disebut di dalam al-Quran sebagai negeri yang baik dengan Tuhan Yang Maha Pengampun (Saba': 15), kerana Allah SWT telah mengurniai tanah Saba' dengan ladang-ladang yang amat subur.
Allah melimpahkan rezeki-Nya kepada penduduk Saba' dengan memberi mereka dua kumpulan kebun yang luas lagi amat subur.
Namun kerana mereka tidak mensyukuri nikmat yang diberi, Allah SWT menggantikan pohon-pohon di kebun itu dengan pohon yang berbuah pahit, iaitu pohon Asl dan Sidr.
Asl adalah pohon yang berakar kuat sehingga sukar dicabut. Adapun pohon Sidr adalah pohon yang tidak mengenyangkan untuk dimakan.
Kisah negeri Saba dengan penduduknya merupakan petunjuk, pengajaran dan tanda akan nyatanya kekuasaan Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: … Sesungguhnya bagi kaum Saba ada tanda (kekuasaan Tuhan) di tempat kediaman mereka… (Saba': 15).
Nikmat yang diberikan oleh Allah tidak mereka syukuri, bahkan mereka menganiaya diri mereka sendiri dengan mengingkari seruan Allah sehingga mereka diazab Allah.
Azab berupa banjir dan pohon berbuah pahit menjadi pengajaran berharga bagi kaum Saba.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0621&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz33DGSmP1C
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, 13 June 2011

Pengantin kanak-kanak

Mereka sepatutnya bermain, belajar dan berseronok menempuh zaman kanak-kanak. Malangnya, kanak-kanak itu, dengan ada yang semuda lima tahun, dikahwinkan dalam majlis perkahwinan yang diadakan secara rahsia.

Perkahwinan seumpama itu dianggarkan berlaku kepada 10 juta hingga 12 juta kanak-kanak di negara sedang membangun setiap tahun.
Di India, kanak-kanak perempuan biasanya dikahwinkan dengan budak lelaki berusia empat atau lima tahun lebih tua daripada mereka. Namun di Yaman, Afghanistan, Habsyah dan beberapa negara lain yang kadar perkahwinan pada usia muda lebih tinggi, si suami biasanya adalah pemuda, duda berusia pertengahan tahun atau penculik yang merogol kanak-kanak itu dan kemudian menuntut mangsa menjadi isterinya.

Sebahagian daripada perkahwinan itu juga membabitkan urusan perniagaan atau untuk menyelesaikan pertelingkahan antara keluarga.

Kahwin paksa pada usia muda berlaku di kebanyakan tempat, selalunya bertentangan dengan undang-undang negara.
Foto
SUARA RAUNGAN... meskipun perkahwinan awal usia menjadi perkara biasa di kampungnya di Nepali, Surita, 16, meraung membantah ketika dia meninggalkan rumah keluarganya, dilindungi dengan menggunakan payung pengantin dan diarak di atas pedati ke kampung suaminya.

Foto
USIA ENAM TAHUN.... “Setiap kali saya melihatnya, saya bersembunyi. Saya benci melihatnya,” kata Tahani (berpakaian merah jambu) ketika mengenang semula saat dia baru berkahwin dengan Majid. Dia berusia enam tahun sementara Majed, 25, ketika mereka berkahwin. Di depan (berpakaian hijau) adalah bekas rakan sekelasnya, Ghaza, juga pengantin kanak-kanak, di kampung mereka di Hajjah, kawasan pergunungan di Yaman.
Namun bagi masyarakat yang mengamalkannya, ia dianggap cara paling sesuai untuk pendewasaan seseorang gadis. Bagi mereka, ia lebih baik daripada dia hilang keperawanannya kepada orang lain sebelum berkahwin.
Foto
KEJAM... polis wanita, Malalai Kakar (tengah) menahan lelaki yang berulang kali menikam isterinya berusia 15 tahun kerana tidak mematuhi arahannya. Apabila ditanya apa yang akan berlaku kepada lelaki itu, Kakar berkata: “Tidak ada apa-apa. Di sini, suami adalah raja.”

Majlis perkahwinan biasanya diadakan pada tengah malam dengan seluruh kampung merahsiakannya kerana bimbang diserbu polis.
Dalam satu projek khas untuk majalah National Geographic, wartawan Cynthia Gorney dan jurugambar Stephanie Sinclair mengunjungi Yaman dan Rajashtan di India untuk menyiasat amalan mengejutkan itu.
Foto
BEBAS... Nujood Ali berusia 10 tahun ketika dipaksa berkahwin. Tetapi dia berjaya melarikan diri dan menuntut cerai di mahkamah. Kini menjanda, dia kembali menetap di rumah keluarganya dan menyambung persekolahan.

Di India, gadis tidak boleh berkahwin sebelum mencecah usia 18, tetapi majlis membabitkan kanak-kanak perempuan berusia awal belasan tahun mungkin dilakukan secara tersembunyi.

Anak perempuan yang dalam usia muda, dengan ada yang berumur lima tahun, ‘ditumpangkan’ untuk dikahwinkan pada satu majlis perkahwinan dengan nama mereka tidak diselitkan dalam jemputan perkahwinan.

Dalam satu kes di Rajashtan, ketika kakaknya berusia belasan tahun dikahwinkan, seorang pengantin kanak-kanak berusia lima tahun, Rajani, tertidur sebelum majlis bermula.

Seorang bapa saudaranya mengangkatnya dari katil dan mengendongnya di bawah sinaran cahaya bulan, menuju ke tempat paderi dan bakal suaminya — budak lelaki berusia 10 tahun — menunggu.

Meskipun pengantin kanak-kanak ditetapkan akan kekal bersama keluarga masing-masing sehingga mereka lebih dewasa, ia jarang diamalkan.

Tiga tahun lalu, kes membabitkan Nujood Ali menjadi tumpuan seluruh dunia. Gadis Yaman berusia 10 tahun itu berjaya melarikan diri meninggalkan rumah, menuju ke mahkamah untuk memohon cerai daripada suaminya, lelaki berusia 30-an yang sering memukulnya selepas dia dikahwinkan secara paksa oleh bapanya.

Dia menjadi gadis poster untuk kanak-kanak di seluruh dunia yang senasib dengannya. Buku terbaru mengenainya — ‘Saya Nujood, 10 tahun dan janda’ — diterjemahkan ke dalam 30 bahasa.

Nujood kini tinggal semula dengan keluarganya dan menyambung persekolahan.

Tidak semua gadis berjaya menyelamatkan diri seperti Nurood. Sebahagian mereka yang berkahwin ketika kanak-kanak sudah pasti tidak mempunyai peluang untuk mendapatkan pelajaran.

Lebih menyedihkan, ada di kalangan mereka menerima kesan lebih buruk. Ramai diperkosa dan mempunyai jangka hayat rendah kerana melahirkan beberapa anak pada usia sangat muda.

Mereka juga mengalami penderaan fizikal dan terlalu takut untuk melarikan diri kerana diancam bunuh.

Dalam satu lagi kes di Yaman, kanak-kanak perempuan, Ayesha, 10, dipaksa berkahwin dengan lelaki berusia 50 tahun.

Wartawan itu diberitahu oleh kakaknya, Fatima, Ayesha menjerit apabila melihat lelaki yang hendak dikahwinkan dengannya.

Ada jiran membuat laporan polis, namun bapa Ayesha memaksanya memakai kasut tumit tinggi supaya dia kelihatan tinggi dan memakai purdah supaya wajahnya tidak dapat dilihat.

Si bapa memberi amaran, jika dia dipenjara, dia akan membunuh Ayesha apabila dibebaskan kemudian. Polis meninggalkan rumah lelaki itu tanpa menahan sesiapa dan Ayesha kini tinggal bersama suaminya di kampung yang terletak kira-kira dua jam perjalanan dari rumah keluarganya.

“Dia mempunyai telefon bimbit. Setiap hari dia menelefon saya, dan dia pasti menangis,” kata Fatima.

Kesan kesihatan sangat serius dan dalam beberapa kes, ia menyebabkan maut.

Seorang doktor di Sanaa, ibu negara Yaman, menyenaraikan beberapa kesan kesihatan terhadap kanak-kanak perempuan yang dipaksa mengadakan seks dan padah akibat melahirkan anak ketika mereka belum dewasa daripada segi fizikal.

“Kanak-kanak perempuan memang terlalu muda untuk memahami konsep hamil. Menurutnya, ada yang tidak tahu mengenai bayi di dalam perut mereka ketika mengandung,” katanya.

Tidak ramai yang dibekalkan dengan maklumat mengenai penjagaan diri dan anak yang baru dilahirkan, menyebabkan peningkatan kadar kematian di kalangan bayi.

Aktivis yang berusaha menghalang perkahwinan kanak-kanak dan meningkatkan kualiti kehidupan wanita sedar betapa sukarnya untuk menyelamatkan mangsa.
Foto
IBU MUDA... Asia, 14, memandikan bayinya di rumahnya di Hajjah, sementara anak perempuannya berusia dua tahun bermain di sebelah.

Molly Melching, pengasas Tostan, sebuah pertubuhan yang berpusat di Senegal, memberitahu National Geographic: “Jika kita pisahkan seorang gadis dan memencilkannya dari masyarakatnya, apa akan berlaku dengan kehidupan mereka? “Anda tidak boleh menggalakkan kanak-kanak perempuan melarikan diri. Anda tidak boleh menangani kes perkahwinan kanak-kanak itu dengan memerangi atau memalukan orang ramai dan berkata mereka ketinggalan zaman. “Usaha perlu dilakukan untuk mengubah seluruh masyarakat. Dan jika itu berjaya, amalan itu pasti dapat dihapuskan.”
Artikel ini disiarkan pada : 2011/06/12

Saturday, 11 June 2011

2 demonstrasi


SANAA: Dua kumpulan bertentangan - penyokong dan penentang kerajaan - mengadakan perarakan bagi menyambut berita keadaan kesihatan Presiden Yaman, semalam.

Ketika beribu-ribu penyokong pembangkang menuntut Presiden Ali Abdullah Saleh digantikan dengan majlis pemerintahan sementara di tengah Sanaa, beberapa kilometer dari situ pula, ribuan penyokong pemimpin itu berkumpul di Medan Sabbeen, meraikan berita berkenaan.


Di Jalan Sittin yang menjadi pusat gerakan antikerajaan, orang ramai melaungkan pelbagai slogan mendesak ‘Yaman baru’ diwujudkan.



“Rakyat mahukan majlis peralihan!” jerit sebahagian daripada penunjuk perasaan.


Sejak cedera terkena letupan ketika di dalam masjid pada 3 Jun lalu, Ali tidak muncul di khalayak ramai, menyebabkan timbul pelbagai versi berita mengenai kesihatannya.


Ali selamat menjalani pembedahan di Riyadh, Arab Saudi, dan pihak kerajaan mendakwa, kesihatan presiden itu semakin pulih.

Dia juga dilaporkan dirawat di wad biasa berbanding unit rawatan rapi sebelum ini.


Penganalisis AS berpendapat, letupan yang mencederakan Ali itu adalah cubaan membunuhnya.

Mereka juga percaya insiden itu juga kemungkinan besar didalangi orang dalam.


Sementara itu, Timbalan Menteri Penerangan Yaman, Abdo al-Janadi, berkata mustahil proses peralihan kuasa dibincangkan sebelum Ali kembali ke negara itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2011/06/10

Friday, 10 June 2011

Ali bakal pulang


SANAA/ADEN: Penyokong Presiden Ali Abdullah Saleh semalam melepaskan tembakan ke udara bagi meraikan laporan pemimpin Yaman itu akan kembali selepas menjalani rawatan di Arab Saudi.

Laman sesawang kerajaan melaporkan, Ali berjaya menjalani pembedahan dan kini semakin pulih.


“Dia mungkin kembali ke Yaman tidak lama lagi,” kata laporan itu.



Cedera akibat letupan pada Jumaat lalu, Ali dikejarkan ke Riyadh untuk mengeluarkan serpihan dari badannya dan menjalani pembedahan plastik merawat kesan terbakar di kepalanya.


Kerajaan berkata, persediaan kini dibuat di seluruh negara bagi meraikan kepulangan Ali ketika presiden itu terus mendapat tekanan antarabangsa dan domestik supaya berundur.


Yaman juga kini berada dalam kucar-kacir apabila rakyat bangkit menuntut reformasi dilakukan.

Sumber pula berkata, Ali mengalami kesan kebakaran kira-kira 40 peratus daripada badannya.


Di Riyadh pula, diplomat Yaman berkata, Ali akan bertemu dengan komuniti negara itu di Arab Saudi beberapa hari lagi menjelang kepulangannya.

Sepanjang ketiadaan Ali di Yaman, kedua-dua pihak bertentangan mengadakan gencatan senjata.


Bagaimanapun, kebanyakan kementerian tidak berfungsi kerana kakitangannya tidak datang bekerja.


Bandar utama juga mengalami masalah bekalan elektrik dan air, manakala di Zinjibar di bahagian selatan, al-Qaeda dilaporkan menguasai bandar itu.


Sesetengah pihak berkata, Ali sengaja membiarkan al-Qaeda menawan Zinjibar bagi menunjukkan risiko dihadapi rakyat jika kerajaan bertukar. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2011/06/10

Presiden Yaman kini stabil


RIYADH: Kesihatan Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh, yang kini dirawat di Riyadh akibat kecederaan terkena serpihan letupan dilaporkan stabil.

Sumber kerajaan Arab Saudi berkata, ketika ini Ali menunggu doktor untuk menentukan tarikh membuat pembedahan plastik.


“Pembedahan itu dijalankan bagi merawat kesan kebakaran kecil pada kulit kepalanya,” katanya.



Sumber itu turut menafikan kesihatan presiden terbabit semakin serius.


Ali diterbangkan ke Riyadh pada Sabtu selepas cedera terkena letupan peluru artileri ketika solat di masjid dalam Istana Presiden.


Naib Presiden Yaman, Abd al-Rab Mansur al-Hadi, bertegas Ali berada dalam keadaan baik dan akan pulang beberapa hari lagi.

Akhbar Arab Saudi, al-Watan, melaporkan kesihatan Ali tidak lagi kritikal walaupun nyawanya terancam baru-baru ini.


Memetik kenyataan seorang diplomat, al-Watan melaporkan, satu serpihan bom bersaiz sederhana tertanam berhampiran kawasan sensitif jantung Ali selama lebih dua hari. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2011/06/09

Rakyat desak jalankan peralihan kuasa segera


SANAA: Rakyat Yaman semalam menggesa Naib Presiden, Abd al-Rab Mansur al-Hadi, mengetuai usaha peralihan kuasa di negara itu.

Pemuda Yaman turut membina berpuluh khemah di luar kediaman Abd al-Rab di Sanaa bagi memberi tekanan kepadanya membentuk majlis presiden sementara.


Bagaimanapun, tentera segera merobohkan khemah yang menghalang laluan trafik di kawasan berkenaan.



Saksi berkata, beberapa pemuda turut ditahan.


Tentera terbabit ditugaskan mengawal penunjuk perasaan di luar Universiti Sanaa.


Kelmarin, aktivis prodemokrasi mengadakan protes menuntut tokoh daripada rejim lama dihalang menyertai majlis peralihan kuasa berkenaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2011/06/09

Thursday, 9 June 2011

Pemberontak tawan bandar Taez pula


SANAA: Bandar kedua terbesar Yaman, Taez, hampir dikuasai pemberontak sepenuhnya, kata pemimpin majlis puak tempatan, Hammoud Saeed al-Mikhlafi, semalam.

Katanya, Taez boleh diandaikan berada dalam kawalan pemberontak pada ketika ini.


“Kumpulan bersenjata dihantar ke sana untuk melindungi penunjuk perasaan yang bertindak secara aman selepas mereka berdepan dengan gerakan pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Presiden Ali Abdullah Saleh pada minggu lalu,” katanya.



Lebih 50 penunjuk perasaan maut ekoran tindakan ganas pasukan keselamatan Yaman menggempur protes aman rakyat negara itu di Dataran Kebebasan di tengah Taez.


Di Zinjibar, tentera turut berperang dengan kumpulan bersenjata disyaki anggota al-Qaeda. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2011/06/08

Wednesday, 8 June 2011

Pembangkang Yaman mahu kuasa presiden


SANAA: Pembangkang Yaman menggesa kuasa pemerintahan negara itu dipindahkan kepada mereka sambil berikrar untuk menghalang Presiden Ali Abdullah Saleh kembali dari Arab Saudi.

Ali Abdullah yang cedera akibat terkena serpihan letupan bom ketika bersolat dalam masjid Istana Presiden kini mendapatkan rawatan di Riyadh.


Dia sebelum itu terpaksa menjalani dua pembedahan bagi merawat kesan kecederaan itu.



Parti Ali Abdullah berkata, presiden itu akan kembali ke Yaman apabila keadaan mengizinkan.


Sebuah jawatankuasa pemuda yang berperanan menggerakkan kebangkitan rakyat negara itu berkata, orang ramai perlu memberi lebih tekanan bagi membolehkan peralihan kuasa berlaku.


Kenyataan jawatankuasa itu berkata, semua pihak kini mula membentuk majlis peralihan kuasa peringkat kebangsaan.

“Kami juga menyeru supaya dibentuk sebuah kerajaan teknokrat bagi mengetuai peralihan kuasa ini,” katanya.


Kumpulan sama turut menggalakkan orang ramai keluar ke jalan raya meraikan “penyingkiran Ali Abdullah”.

“Revolusi ini berjaya mencapai matlamat pertamanya, iaitu menyingkirkan presiden.


“Protes ini akan diteruskan sehingga semua sasaran tercapai,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2011/06/07

Tuesday, 7 June 2011

Minda: Yaman dilanda krisis ekonomi


SELEPAS pengunduran Ali Abdullah Saleh daripada kerusi presiden di Yaman, negara itu terus berada di ambang risiko yang cukup besar.

Ali Abdullah memang melepaskan jawatannya dan pada masa sama meninggalkan Yaman dalam keadaan lumpuh.



Ketika pelbagai pihak meragui dia akan kembali ke Yaman, penunjuk perasaan dan aktivis prodemokrasi meraikan kejayaan mereka menumbangkan pemimpin yang memerintah negara itu sejak 1978.

Sama ada disedari atau tidak, di sebalik keriangan rakyat atas kejayaan mereka menumbangkan presiden melalui jalan raya, Yaman kini ditinggalkan dalam krisis ekonomi dan lompong politik.


Tidak cukup dengan masalah itu, Yaman pula memang diketahui menjadi tempat subur bagi gerakan al-Qaeda.


Dengan kedudukan Yaman yang sangat strategik iaitu berada di satu daripada dua pintu masuk laluan minyak menuju Terusan Suez, penganalisis berpendapat, masih terlalu awal untuk mana-mana pihak bergembira.

Sebagai satu daripada negara paling miskin di dunia, bantuan antarabangsa memang tidak asing bagi Yaman.

Pada 2006, negara penderma menjanjikan bantuan bernilai RM15 bilion kepada kerajaan, tetapi malangnya tidak semua ikrar itu ditunaikan.

Tahun lalu, Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) berjanji menyalurkan sumbangan bernilai RM1.1 bilion dalam usaha membantu negara itu berdepan dengan krisis kewangan.

Bagaimanapun, pasaran kewangan lebih berminat mengenai isu kemampuan mengeksport Yaman berbanding hal ehwal domestik.

Kira-kira 60 peratus pendapatan Yaman bergantung kepada minyak, tetapi apabila dibuat perbandingan di peringkat global, pengeluaran bahan bakar negara itu sebenarnya kecil.

Nyaris menghentikan seluruh pengeluaran 260,000 tong minyak sehari, situasi itu hampir-hampir tidak disedari langsung di peringkat dunia.

Namun, aktiviti perdagangan lanun, kewujudan al-Qaeda dan kacau-bilau semasa, walaupun ia bukan perkara baru tetap membimbangkan.

Kemiskinan dan suasana lompong politik dijangka menambahkan lagi masalah di Selat Bab al-Mandab yang menghubungkan Teluk Aden dengan Laut Merah.

Sukar untuk membayangkan bagaimana keadaan dunia apabila laluan transit bagi kira-kira 3.2 juta tong minyak sehari di laluan itu ditutup sepenuhnya.

Walaupun terusan itu bukanlah satu-satunya laluan yang ada untuk perdagangan petroleum, mencari atau menggunakan jalan lain pasti meningkatkan kos serta harga bahan bakar itu.

Satu lagi masalah yang membesar secara tiba-tiba ialah aspek keselamatan di sepanjang 1,500 kilometer sempadan Yaman - Arab Saudi.

Selama ini Riyadh memang diketahui melakukan pelbagai usaha bagi memastikan tahap keselamatan di kawasan itu terjamin.

Dijangkakan, berbilion ringgit dilaburkan ke Yaman bagi melunakkan kerajaan dan rakyatnya supaya tidak mengambil sikap berseteru dengan Arab Saudi.

Di sesetengah tempat di sempadan kedua-dua negara, pihak keselamatan Arab Saudi juga membina pagar bagi mengelak sebarang kemasukan unsur yang boleh mengancam negara berkenaan.

Namun, melihat kepada apa yang berlaku di Yaman hari ini, Riyadh mungkin berhak meragui keberkesanan pelaburan mereka selama ini.

Peralihan kuasa di Yaman ketika ini juga boleh menjadi sumber yang meresahkan banyak negara Teluk, terutama apabila ia dapat mempengaruhi kestabilan rantau berkenaan.

Walaupun Arab Saudi berkeupayaan menarik Yaman keluar daripada kegawatan kewangan, ia mungkin tidak memadai bagi menyelesaikan semua masalah yang timbul.
Langkah itu juga tidak semudah dijangka jika kerajaan era selepas Ali Abdullah kurang mesra dengan jiran serantau.

Pada masa sama, dunia mungkin bernasib baik kerana nampaknya Arab Saudi tidak mampu mengabaikan apa yang terjadi di Yaman.

Berikut adalah beberapa fakta penting mengenai krisis Yaman:


Ali Abdullah menjalani pembedahan di Arab Saudi berikutan serangan ke atas Istana Presiden Yaman. Pemergiannya dari Yaman mungkin menandakan noktah pemerintahannya selama 33 tahun.

Krisis ekonomi di Yaman menyebabkan kerugian sehingga RM15 bilion. Menteri Perdagangan, Hisham Sharaf Abdallah berkata, bantuan segera diperlukan bagi mengelak negara itu lumpuh sepenuhnya.

Washington meminta Ali Abdullah melepaskan jawatan. Amerika Syarikat juga berhubung dengan Naib Presiden Yaman, Abd-Rabbu Mansour Hadi, yang kini bertindak sebagai pemangku presiden. Namun, kuasanya dikatakan sangat terhad.

Yaman adalah negara termiskin di Semenanjung Arab dengan pendapatan perkapita hanya RM7,816. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : 2011/06/07

Monday, 6 June 2011

Rakyat Yaman berpesta


SANAA: Puluhan ribu rakyat Yaman semalam menari, menyanyi dan menyembelih lembu di Dataran Perubahan di bandar raya ini untuk meraikan pemergian Presiden Ali Abdullah Salleh ke Arab Saudi bagi mendapatkan rawatan akibat cedera dalam serangan kelmarin.

Wanita berpurdah hitam turut menyertai tunjuk perasaan itu dengan membawa sepanduk yang mengalu-alukan pemergian Ali.


Satu sepanduk itu berbunyi: “Penindas sudah pergi, rakyat akan kekal.” “Hari ini Yaman dilahirkan semula,” kata seorang remaja sambil mendapat sorakan daripada orang ramai.



“Inilah masanya. Rejim sudah dijatuhkan,” kata yang lain.


Sementara itu, televisyen milik kerajaan menyiarkan lagu yang memuji pemimpin itu.


Seorang pegawai Yaman berkata, Ali berlepas ke Saudi awal pagi semalam bersama-sama dua isteri dan anaknya.

Seorang pegawai perubatan Saudi yang merawat Ali di istananya dilapor berkata, keadaan presiden itu ‘tidak berapa bagus.’ Dalam pada itu, pembangkang Yaman berkata, mereka akan berusaha untuk menghalang Ali daripada pulang ke negara itu.


“Kami akan bekerjasama memastikan beliau tidak akan kembali,” kata jurucakap parti pembangkang di Parlimen, Mohamed Qahtan.

Ali tidak mengeluarkan sebarang dikri untuk menyerahkan tugas presiden kepada naib presidennya, Sumber lain berkata, ketua tentera Yaman, termasuk anak dan anak saudara Ali masih berada di negara itu dan tidak mengikutnya ke Arab Saudi.


Ali yang memerintah Yaman sejak 1978, mungkin menjadi pemimpin negara Arab ketiga tumbang akibat pemberontakan rakyat tahun ini selepas Tunisia dan Mesir. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2011/06/06

Sunday, 5 June 2011

Pegawai Yaman dirawat di Saudi


SANAA: Beberapa pegawai kanan Yaman yang cedera dalam serangan terhadap istana presiden kelmarin dihantar ke negara jiran, Arab Saudi, untuk dirawat, semalam.

Speaker kedua-dua Dewan Parlimen, timbalan perdana menteri dan beberapa pegawai lain diterbangkan ke negara jiran itu.



Sumber perubatan yang melaporkan demikian bagaimanapun tidak memberi butir lanjut mengenai keadaan pegawai itu.

Laporan beberapa media Arab sebelum ini berkata, Timbalan Perdana Menteri Yaman cedera parah selepas pemberontak melancarkan serangan terhadap istana.


Presiden Ali Abdullah Salleh bagaimanapun cedera ringan dan tujuh orang terbunuh dalam kejadian itu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2011/06/04

Saturday, 4 June 2011

Presiden Yaman terselamat



SANAA: Istana Presiden Yaman di bandar raya ini menjadi sasaran serangan pemberontak semalam, menyebabkan tiga pegawai kanan cedera.

Bagaimanapun, Presiden Ali Abdullah Saleh dikatakan terselamat.


Pertempuran sengit meletus di Sanaa sepanjang semalam, memaksa penduduknya tidak keluar rumah. Menurut laporan lain sebelum ini, beribu-ribu penduduk bandar itu dikatakan berpindah ke daerah lebih selamat.



Pegawai Yaman berkata, tiga yang cedera dalam serangan terhadap istana itu ialah perdana menteri, timbalannya dan speaker Parlimen.


Serangan itu dikatakan dilancarkan oleh kumpulan suku kaum yuang diketuai keluarga al-Ahmar.


Ampat pengawal dilapor terbunuh dalam serangan itu.

“Presiden terselamat dan dia akan berucap ke seluruh negara. Ada pegawai kanan yang cedera,” kata Timbalan Menteri Penerangan, Abdu al-Janadi.


Stesen televisyen pembangkang, Suhail, sebelum ini melaporkan Ali terbunuh dalam serangan meriam yang terkena masjid Istana.

Yaman berada di ambang perang saudara sejak awal minggu apabila gabungan suku kaum, Hashed, melancarkan serangan terhadap tentera yang masih setia kepada Ali di Sanaa dan wilayah lain negara itu.


Lebih 370 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 155 daripada mereka mati dalam tempoh 10 hari lalu sejak rakyat Yaman bangkit menentang pemerintahan 33 tahun Ali pada Januari. — Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2011/06/04

Friday, 3 June 2011

Yaman kian genting


SANAA: Semua penerbangan ke lapangan terbang di sini digantung semalam, kata pihak berkuasa Yaman, ketika pertempuran berdarah di antara kumpulan bersenjata dan pasukan keselamatan berlaku di jalan raya sekitar ibu negara itu.

Pegawai terbabit berkata, semua penerbangan yang sepatutnya mendarat di situ diarah ke lapangan terbang Aden.


Penutupan itu dibuat ekoran pertempuran sengit di kawasan al-Hasaba, 10 kilometer ke selatan lapangan terbang.



Pada masa sama, laporan mendakwa ribuan puak tempatan bersenjata bergerak ke arah Sanaa bagi menyokong pemimpin mereka, Sheikh Sadiq al-Ahmar, yang kini berperang dengan pasukan keselamatan Yaman.


Saksi berkata, pertempuran sengit berlangsung semalaman di al-Hasaba yang menjadi kubu kuat Sheikh Sadiq.


Katanya, ia adalah pertempuran paling dahsyat berlaku sejak dua hari lalu.

Sumber berkata, sekurang-kurangnya 15 maut, termasuk seorang budak perempuan berusia tujuh tahun yang terkena peluru sesat.


Seorang pemimpin puak terbabit berkata, mereka bercadang memasuki Sanaa bagi memperkukuhkan kedudukan Sheikh Sadiq yang kini mengetuai persekutuan puak Yaman, Harshid.

Pertempuran di Sanaa tercetus kelmarin selepas gencatan senjata antara pasukan keselamatan Yaman dengan puak bersenjata yang menguasai bangunan awam di sekitar ibu negara itu dicabuli.


Gencatan senjata diumumkan pada 27 Mac lalu, seminggu selepas pertempuran sengit berlangsung ekoran amaran Presiden Ali Abdullah Saleh mengenai kemungkinan perang saudara di Yaman.


Ali juga enggan menandatangani pelan damai yang diusahakan negara Teluk bagi membolehkan dia berundur seperti dituntut aktivis prodemokrasi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2011/06/03