Friday, 3 June 2011

Yaman kian genting


SANAA: Semua penerbangan ke lapangan terbang di sini digantung semalam, kata pihak berkuasa Yaman, ketika pertempuran berdarah di antara kumpulan bersenjata dan pasukan keselamatan berlaku di jalan raya sekitar ibu negara itu.

Pegawai terbabit berkata, semua penerbangan yang sepatutnya mendarat di situ diarah ke lapangan terbang Aden.


Penutupan itu dibuat ekoran pertempuran sengit di kawasan al-Hasaba, 10 kilometer ke selatan lapangan terbang.



Pada masa sama, laporan mendakwa ribuan puak tempatan bersenjata bergerak ke arah Sanaa bagi menyokong pemimpin mereka, Sheikh Sadiq al-Ahmar, yang kini berperang dengan pasukan keselamatan Yaman.


Saksi berkata, pertempuran sengit berlangsung semalaman di al-Hasaba yang menjadi kubu kuat Sheikh Sadiq.


Katanya, ia adalah pertempuran paling dahsyat berlaku sejak dua hari lalu.

Sumber berkata, sekurang-kurangnya 15 maut, termasuk seorang budak perempuan berusia tujuh tahun yang terkena peluru sesat.


Seorang pemimpin puak terbabit berkata, mereka bercadang memasuki Sanaa bagi memperkukuhkan kedudukan Sheikh Sadiq yang kini mengetuai persekutuan puak Yaman, Harshid.

Pertempuran di Sanaa tercetus kelmarin selepas gencatan senjata antara pasukan keselamatan Yaman dengan puak bersenjata yang menguasai bangunan awam di sekitar ibu negara itu dicabuli.


Gencatan senjata diumumkan pada 27 Mac lalu, seminggu selepas pertempuran sengit berlangsung ekoran amaran Presiden Ali Abdullah Saleh mengenai kemungkinan perang saudara di Yaman.


Ali juga enggan menandatangani pelan damai yang diusahakan negara Teluk bagi membolehkan dia berundur seperti dituntut aktivis prodemokrasi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2011/06/03

No comments:

Post a Comment