Tuesday, 7 June 2011

Minda: Yaman dilanda krisis ekonomi


SELEPAS pengunduran Ali Abdullah Saleh daripada kerusi presiden di Yaman, negara itu terus berada di ambang risiko yang cukup besar.

Ali Abdullah memang melepaskan jawatannya dan pada masa sama meninggalkan Yaman dalam keadaan lumpuh.



Ketika pelbagai pihak meragui dia akan kembali ke Yaman, penunjuk perasaan dan aktivis prodemokrasi meraikan kejayaan mereka menumbangkan pemimpin yang memerintah negara itu sejak 1978.

Sama ada disedari atau tidak, di sebalik keriangan rakyat atas kejayaan mereka menumbangkan presiden melalui jalan raya, Yaman kini ditinggalkan dalam krisis ekonomi dan lompong politik.


Tidak cukup dengan masalah itu, Yaman pula memang diketahui menjadi tempat subur bagi gerakan al-Qaeda.


Dengan kedudukan Yaman yang sangat strategik iaitu berada di satu daripada dua pintu masuk laluan minyak menuju Terusan Suez, penganalisis berpendapat, masih terlalu awal untuk mana-mana pihak bergembira.

Sebagai satu daripada negara paling miskin di dunia, bantuan antarabangsa memang tidak asing bagi Yaman.

Pada 2006, negara penderma menjanjikan bantuan bernilai RM15 bilion kepada kerajaan, tetapi malangnya tidak semua ikrar itu ditunaikan.

Tahun lalu, Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) berjanji menyalurkan sumbangan bernilai RM1.1 bilion dalam usaha membantu negara itu berdepan dengan krisis kewangan.

Bagaimanapun, pasaran kewangan lebih berminat mengenai isu kemampuan mengeksport Yaman berbanding hal ehwal domestik.

Kira-kira 60 peratus pendapatan Yaman bergantung kepada minyak, tetapi apabila dibuat perbandingan di peringkat global, pengeluaran bahan bakar negara itu sebenarnya kecil.

Nyaris menghentikan seluruh pengeluaran 260,000 tong minyak sehari, situasi itu hampir-hampir tidak disedari langsung di peringkat dunia.

Namun, aktiviti perdagangan lanun, kewujudan al-Qaeda dan kacau-bilau semasa, walaupun ia bukan perkara baru tetap membimbangkan.

Kemiskinan dan suasana lompong politik dijangka menambahkan lagi masalah di Selat Bab al-Mandab yang menghubungkan Teluk Aden dengan Laut Merah.

Sukar untuk membayangkan bagaimana keadaan dunia apabila laluan transit bagi kira-kira 3.2 juta tong minyak sehari di laluan itu ditutup sepenuhnya.

Walaupun terusan itu bukanlah satu-satunya laluan yang ada untuk perdagangan petroleum, mencari atau menggunakan jalan lain pasti meningkatkan kos serta harga bahan bakar itu.

Satu lagi masalah yang membesar secara tiba-tiba ialah aspek keselamatan di sepanjang 1,500 kilometer sempadan Yaman - Arab Saudi.

Selama ini Riyadh memang diketahui melakukan pelbagai usaha bagi memastikan tahap keselamatan di kawasan itu terjamin.

Dijangkakan, berbilion ringgit dilaburkan ke Yaman bagi melunakkan kerajaan dan rakyatnya supaya tidak mengambil sikap berseteru dengan Arab Saudi.

Di sesetengah tempat di sempadan kedua-dua negara, pihak keselamatan Arab Saudi juga membina pagar bagi mengelak sebarang kemasukan unsur yang boleh mengancam negara berkenaan.

Namun, melihat kepada apa yang berlaku di Yaman hari ini, Riyadh mungkin berhak meragui keberkesanan pelaburan mereka selama ini.

Peralihan kuasa di Yaman ketika ini juga boleh menjadi sumber yang meresahkan banyak negara Teluk, terutama apabila ia dapat mempengaruhi kestabilan rantau berkenaan.

Walaupun Arab Saudi berkeupayaan menarik Yaman keluar daripada kegawatan kewangan, ia mungkin tidak memadai bagi menyelesaikan semua masalah yang timbul.
Langkah itu juga tidak semudah dijangka jika kerajaan era selepas Ali Abdullah kurang mesra dengan jiran serantau.

Pada masa sama, dunia mungkin bernasib baik kerana nampaknya Arab Saudi tidak mampu mengabaikan apa yang terjadi di Yaman.

Berikut adalah beberapa fakta penting mengenai krisis Yaman:


Ali Abdullah menjalani pembedahan di Arab Saudi berikutan serangan ke atas Istana Presiden Yaman. Pemergiannya dari Yaman mungkin menandakan noktah pemerintahannya selama 33 tahun.

Krisis ekonomi di Yaman menyebabkan kerugian sehingga RM15 bilion. Menteri Perdagangan, Hisham Sharaf Abdallah berkata, bantuan segera diperlukan bagi mengelak negara itu lumpuh sepenuhnya.

Washington meminta Ali Abdullah melepaskan jawatan. Amerika Syarikat juga berhubung dengan Naib Presiden Yaman, Abd-Rabbu Mansour Hadi, yang kini bertindak sebagai pemangku presiden. Namun, kuasanya dikatakan sangat terhad.

Yaman adalah negara termiskin di Semenanjung Arab dengan pendapatan perkapita hanya RM7,816. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : 2011/06/07

No comments:

Post a Comment