Saturday, 7 December 2013

20 maut Kementerian Pertahanan Yemen diserang


Beberapa anggota tentera berkawal di sebatang jalan yang menuju Kementerian Pertahanan Yemen selepas kompleks itu diserang di Sanaa, semalam. - REUTERS
SANAA 5 Dis. - Sekurang-kurangya 20 orang terbunuh apabila seorang pengebom berani mati memandu sebuah kereta yang sarat dengan bahan letupan, merempuh masuk ke dalam kompleks Kementerian Pertahanan Yemen di sini hari ini.
Seorang pegawai keselamatan negara ini memberitahu, rangkaian kumpulan jihad al-Qaeda dari Semenanjung Arab (AQAP) didakwa bertanggungjawab ke atas serangan berkenaan.
"Selepas kereta berkenaan memasuki kawasan kementerian, sebuah lagi kereta yang dinaiki beberapa individu tidak dikenali yang juga anggota kumpulan itu melepaskan tembakan ke arah pegawai dan anggota keselamatan," katanya.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Pertahanan berkata, selepas letupan berlaku kumpulan lelaki bersenjata berkenaan dipercayai cuba menawan Hospital Kementerian Pertahanan yang terletak di dalam kompleks sama, tetapi gagal.
Satu sumber keselamatan memberitahu, satu kejadian berbalas tembakan turut berlaku di luar kompleks tersebut.
Menurut saksi pula, kepulan asap boleh dilihat di sekitar kompleks Kementerian Pertahanan tersebut yang terletak berhampiran kawasan perumahan Baba al-Yaman dan bunyi tembakan turut kedengaran.
Yemen berdepan kemelut politik sejak Presiden, Ali Abdullah Saleh digulingkan pada Februari tahun lalu selepas protes berdarah membantah pemerintahan 33 tahun beliau dilancarkan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131206/lu_04/20-maut-Kementerian-Pertahanan-Yemen-diserang#ixzz33DAfC2rc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment