Tuesday, 24 December 2013

Al-Qaeda mohon maaf


Kaherah: Pemimpin al-Qaeda di Yaman meminta maaf selepas seorang anggotanya mengingkari arahan dan menyerang sebuah hospital yang dikaitkan dengan Kementerian Pertahanan dalam serangan pada 5 Disember, menyebabkan 52 orang terbunuh.

Komander al-Qaeda di Semenanjung Arab, Qassim al-Rimi berkata dalam rakaman video yang dimuat naik di laman web kumpulan itu, anggotanya itu sudah diberi amaran agar tidak memasuki kompleks hospital atau bersolat di situ.

Tetapi seorang daripada mereka mengingkari arahan itu.

“Kini, kami mengaku bersalah,” katanya dalam video yang dikeluarkan kelmarin oleh pengantara media kumpulannya, al-Mallahem.



“Kami meminta maaf dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Kami mengaku bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kejadian di hospital itu dan akan membayar wang darah kepada keluarga mangsa,” katanya.


Permohonan maaf itu disiarkan stesen televisyen kerajaan Yaman selepas mereka memaparkan video menunjukkan seorang lelaki bersenjata menyerang kumpulan doktor dan kakitangan hospital.


Beberapa pejuang al-Qaeda cuba menafikan serangan itu dengan mendakwa ia palsu.

“Kami malu dengan apa yang dilakukan saudara kami.

Kami tidak mengarahkannya untuk berbuat demikian dan tidak senang dengan apa yang berlaku,” kata Qassim.

Dia juga berkata, walaupun melakukan kesilapan, ia tidak akan menghentikan matlamat mereka untuk meneruskan jihad.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/23

No comments:

Post a Comment