Lapan pemberontak dan dua anggota bersenjata yang setia dengan kerajaan terbunuh dalam pertempuran di bandar Rahida, di pinggir Taez, kata sumber prokerajaan.
Rahida yang dikuasai tentera kerajaan terletak di laluan utama menuju ke Taez, yang merupakan bandar ketiga terbesar Yemen, terletak 40 kilometer ke utara, di mana pasukan bersenjata yang setia dengan kerajaan dikepung pemberontak selama beberapa bulan.
Pasukan bersenjata prokerajaan dibantu tentera bersekutu diketuai Arab Saudi yang menyokong Presiden Abedrabbo Mansour Hadi dalam pertempuran itu.
Hadi pulang dari Arab Saudi pada Selasa lalu, selepas melarikan diri dari negara ini ekoran pemberontakan etnik Syiah Houthi.
Tentera bersekutu melancarkan sekurang-kurangnya 10 serangan udara ke atas kedudukan pemberontak Houthi di sekitar Rahida pada waktu malam, kata sumber tentera.
Tindakan membebaskan Taez daripada kepungan pemberontak dianggap penting bagi menawan semula wilayah-wilayah tengah dan membuka laluan menuju ke ibu negeri Sanaa yang dikuasai pemberontak di utara.
Ia juga penting untuk melindungi kawasan di selatan, di mana pasukan bersenjata yang prokerajaan telah berjaya menawan lima wilayah daripada pemberontak sejak Julai lalu, termasuk Aden, bandar kedua terbesar di Yemen, yang dijadikan oleh Hadi sebagai pangkalannya. - AFP