Sanaa: Bekas Presiden Yaman Ali Abdullah Saleh cuba meninggalkan bandar raya ini dengan menaiki pesawat Russia tetapi dihalang oleh pakatan Arab yang menguatkuasakan larangan terbang di negara itu.
Media Yaman melaporkan sebuah pesawat Russia membawa diplomat dan bantuan mendarat di Sanaa kelmarin selepas mendapat kebenaran pakatan itu.
“Ali cuba melarikan diri dengan menaiki pesawat itu malam kelmarin tetapi kapal terbang berkenaan dihalang berlepas oleh tentera pakatan Arab,” lapor agensi berita Yaman.
Menurut laporan itu, pakatan berkenaan mengarahkan juruterbang pesawat Russia itu terlebih dulu terbang ke Lapangan Terbang Bisha di selatan Arab Saudi untuk pemeriksaan, tetapi dia enggan.
“Ini mengesahkan laporan bahawa bekas presiden itu cuba melarikan diri. Selasa lalu, dia melawat kedutaan Russia di Sanaa,” lapor agensi itu.
Sementara itu, kumpulan pejuang Yaman membunuh 107 pemberontak Houthi dan sekutu mereka dalam pertempuran selama dua hari di bandar Damt di wilayah Dhale.
Pemberontak itu melancarkan dua serangan dalam tempoh dua hari untuk menawan semula bandar berkenaan tetapi dipatahkan oleh kumpulan pejuang yang menyokong Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi.
“Pertempuran sengit meletus selepas Houthi melancarkan serangan tetapi ramai anggotanya terbunuh dan banyak kenderaan mereka musnah,” menurut sumber tentera. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2015 @ 5:04 AM
![]() |
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91385#sthash.MoejtJVB.dpuf
No comments:
Post a Comment