![]() |
LELAKI yang setia kepada Presiden Abedrabbo berkawal di Taez selepas bertempur dengan pemberontak Houthi, semalam. - AFP
Reuters
Hodeidah: Kumpulan pemberontak Houthi semalam berkata, ia bersedia menamatkan peperangan dan menyertai kerajaan perpaduan kebangsaan.
Pengumuman itu meningkatkan harapan konflik yang sudah meragut lebih 10,000 nyawa itu akan berakhir.
Ia juga mengesahkan butir perjanjian yang dirangka oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry sehari sebelum itu termasuk rancangan menguatkuasakan gencatan senjata bermula hari ini.
Anggota majlis politik kumpulan Ansarullah Houthi, Mohammed al-Bukhaiti berkata, Arab Saudi juga bersetuju menamatkan pembabitannya dalam peperangan itu walaupun sehingga semalam tiada pengumuman rasmi dibuat mengenainya oleh Riyadh.
Pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi terbabit dalam konflik di Yaman sejak Mac lalu untuk membantu Presiden Abedrabbo Mansour Hadi selepas Houthi yang disokong Iran mara ke Aden dan memaksa Abed hidup dalam buangan.
Tiada pihak yang dilihat menguasai peperangan itu walaupun pengeboman dan serangan lain berlarutan selama beberapa bulan sehingga memaksa lebih tiga juta penduduknya menjadi pelarian, menyebabkan sebahagian lagi kebuluran dan membolehkan al-Qaeda meluaskan operasi di negara itu.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2016 @ 7:33 AM
No comments:
Post a Comment