Susunan Nor Faizah Mohamed
SAAT kemuncaknya pemberontakan ke atas bekas Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh yang dikaitkan dengan pelbagai masalah politik dan rasuah, Khadija al-Salami meninggalkan jawatan diplomatik di Paris bagi menghasilkan filem mengenai penyertaan wanita dalam revolusi secara besar-besaran.
Dalam filem dokumentarinya, The Scream yang ditayangkan ketika Festival Filem Antarabangsa Dubai, baru-baru ini, Khadija yang dipaksa berkahwin ketika berusia 11 tahun memfokuskan kepada peranan wanita ketika berlakunya beberapa pemberontakan di negara Arab.
“Secara tradisinya, suara wanita tidak boleh didengari. Saya pilih tajuk ini kerana berasa wanita terpaksa menjerit bagi memberitahu kewujudan serta usaha gerakan yang mereka lakukan.
“Mereka menjerit memberitahu mengenai penderitaan yang dialami serta memberitahu pemberontakan yang berlaku bukan saja ke atas pemerintah, tapi diskriminasi dalam budaya masyarakat Yaman termasuk suami dan bapa mereka,” katanya.
Penggambaran dilakukan di kem sementara yang dibina di luar pintu Universiti Sanaa di mana Khadija menelusuri kehidupan harian sekumpulan wanita berjubah hitam yang berdemonstrasi bersama lelaki sehingga Ali akhirnya mengambil keputusan mengundur diri di bawah perjanjian pemindahan kuasa yang ditandatangani pada November 2011.
“Saya tertarik dan kagum melihat ramai wanita berdiri mempertahankan hak mereka serta mengutamakan kepentingan untuk Yaman. Saya mahu menjadi sebahagian daripada pemberontakan itu,” jelasnya.
Dalam The Scream, Khadija merakamkan aktiviti Rahma selaku wartawan bertugas di lokasi kejadian, Balqis yang bertindak sebagai aktivis hak asasi manusia dan Huda si penyair tiga wanita yang memainkan peranan utama sepanjang pemberontakan itu.
Filem ini memaparkan Rahma tanpa gusar menghubungi pegawai kanan kerajaan bagi mengecam penggunaan senjata terlarang yang digunakan pasukan keselamatan terhadap penunjuk perasaan.
Sementara itu, Balqis memecah tradisi konservatif yang melarang wanita mengunjungi kedai kopi dengan selamba duduk di kafeteria sambil membincangkan isu kesaksamaan gender bersama beberapa lelaki.
Huda si penyair pula menaiki podium di kem yang kini dikenali sebagai Change Square, lalu berhujah serta memberikan kata-kata semangat kepada penunjuk perasaan.
Mereka yang berkeras mahu menjadi sebahagian daripada kebangkitan itu, enggan mendirikan khemah jauh daripada kumpulan lelaki hingga menimbulkan masalah di kalangan komuniti puak ultra-konservatif Yaman.
“Wanita turut berdemonstrasi di jalanan dengan kumpulan lelaki, tapi wanita dipukul dan dimalukan oleh golongan yang kononnya menggelar diri mereka revolusioner.
“Bagaimana seorang lelaki boleh memberontak terhadap rejim sedangkan pada masa sama mereka menindas rakan wanita?” ujarnya.
Filem itu juga menunjukkan layanan buruk diterima wanita oleh tokoh agama dan politik termasuk Ali yang mengkritik percampuran jantina di kalangan barisan pembangkang.
Pada hujung The Scream, Khadija memaparkan kekecewaan wanita apabila menyedari pemberontakan itu gagal meningkatkan status mereka dalam masyarakat Yaman.
“Tapi wanita kini tidak takut pada sesiapa. Mereka mampu bersuara dan akan teruskan perjuangan untuk memperoleh hak mereka. Bagaimanapun, ia akan menjadi satu perjuangan yang panjang,” tegasnya.
Di Paris, Khadija turut merakamkan aktiviti aktivis popular Yaman, Tawakkul Karman selepas wanita itu menerima Anugerah Nobel Keamanan susulan peranannya sepanjang pemberontakan.
Khadija kini giat menghasilkan filem baru yang menceritakan kisah remaja perempuan dipaksa mengahwini lelaki lebih berusia yang menjadi amalan tradisi di negara Arab, tapi disifatkan sebagai ‘rogol terancang’ oleh aktivis wanita.
Dia sendiri dipaksa berkahwin dengan lelaki berusia 20-an ketika dia baru mencecah usia 11 tahun.
“Saya rasa seperti didera. Saya diberi dua pilihan sama ada ‘membunuh diri’ dengan berterusan menjadi isteri atau menentang norma masyarakat.
“Saya pilih yang kedua dan diceraikan, tapi selepas berdepan pelbagai kesukaran,” katanya.
Khadija percaya pendidikan menjadi penyelamat utamanya. Dia mendapat biasiswa untuk meneruskan pengajian di Amerika Syarikat dan kemudian dilantik sebagai Pengarah Pusat Komunikasi dan Kebudayaan Yaman yang berpangkalan di Paris.
Pada 2006, Khadija bekerjasama dengan Charles Hoots bagi penerbitan buku pertamanya, Tears of Sheba. Tales of Survival and Intrigue in Arabia.
Tajuk itu, katanya, mengingatkan masyarakat bahawa wanita pernah memerintah Yaman ketika zaman kegemilangannya dulu.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20