Utusan Khas PBB, Ismail Ould Cheikh Ahmed berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan Yemen dan kumpulan pemberontak Syiah Houthi bagi melaksanakan gencatan senjata tersebut.
“Pihak-pihak yang terlibat dalam konflik di negara itu bersetuju untuk menghentikan pertempuran bermula tengah malam 10 April ini, manakala rundingan damai akan berlangsung pada 18 April ini di Kuwait.
“Tujuannya adalah untuk mencapai satu perjanjian yang akan menamatkan konflik di Yemen dan menyambung semula dialog politik yang lebih inklusif,” kata Ismail dalam sidang media di New York, semalam.
Menurut Ismail, rundingan secara bersemuka itu adalah selaras dengan Resolusi Majlis Keselamatan PBB mengenai Yemen yang menyatakan bahawa pemberontak Houthi perlu berundur dari wilayah yang mereka rampas serta melucutkan senjata.
Beliau berkata, PBB turut berharap usaha tersebut akan membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada berjuta-juta rakyat Yemen yang terjejas.
Lebih 6,300 nyawa terkorban di Yemen dalam serangan udara yang dilancarkan tentera pakatan dike­tuai Arab Saudi dan Kuwait untuk menghalang kemaraan pemberontak Houthi yang menguasai bandar Sanaa, ibu negara Yemen.
Rundingan damai yang ditaja PBB antara pemberontak Syiah Houthi dengan pegawai kerajaan sebelum ini gagal mencapai kejayaan menyebabkan gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 15 Disember lalu dicabul beberapa kali menyebabkannya tamat pada 2 Januari lalu. – AFP