![]() |
seorang kanak-kanak Yemen berlari berhampiran sebuah bangunan yang musnah dalam serangan udara oleh tentera pakatan diketuai Arab Saudi ke atas bandar lama Sanaa pada 23 Mac lalu. AFP
ADEN 26 Mac – Sebanyak 26 orang maut dalam tiga serangan yang dilancarkan oleh kumpulan militan Negara Islam (IS) di pos pemeriksaan pasukan keselamatan Yemen di Aden, semalam.
Dua bom diletupkan serentak di pos pemeriksaan berbeza di daerah Shaab, pinggir bandar Aden, sebelum lelaki bersenjata melancarkan serangan ke atas sebuah pangkalan tentera bersekutu yang terletak berdekatan.
Bom ketiga yang ditempatkan dalam sebuah ambulans diletupkan di pos pemeriksaan berdekatan Mansura, pusat Aden.
Tentera perikatan Arab diketuai Arab Saudi yang melancarkan serangan udara ke atas kumpulan pemberontak Houthi, kembali menyerang kumpulan militan itu buat pertama kali pada minggu lepas di Aden.
Kumpulan militan IS dan al-Qaeda mengeksploitasi keadaan huru-hara di Yemen dan mengukuhkan kedudukan mereka di selatan negara ini, selain melancarkan serangan ke atas pasukan tentera yang menyokong Presiden Yemen, Abedrabbo Mansour Hadi.
Serangan udara Amerika Syarikat (AS) pada awal minggu lepas ke atas kem militan al-Qaeda di Hadramawt menyaksikan lebih 70 anggota militan maut.
Rangkaian al-Qaeda di Yemen dianggap sebagai paling berbahaya oleh Washington.
Tentera bersekutu melancarkan serangan udara ke atas pemberontak Houthi pada Mac tahun lepas ketika kumpulan pemberontak itu dibantu Iran mara ke atas Aden hingga menyebabkan Hadi terpaksa melarikan diri ke Riyadh. – AFP
No comments:
Post a Comment