Houthi mengadakan demonstrasi di Sanaa beberapa hari sebelum mengambil alih Yaman.
Houthi mengadakan demonstrasi di Sanaa beberapa hari sebelum mengambil alih Yaman.
SANAA - YAMAN . Pemberontak Houthi semalam menubuhkan suruhanjaya keselamatan sehari selepas mengambil alih Yaman dan membubarkan Parlimen negara.

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, suruhanjaya terdiri daripada 18 anggota termasuk menteri pertahanan dan dalam negeri.

"Ia akan dipengerusikan Jeneral Mahmud al-Subaihi, menteri pertahanan Presiden Abdrabuh Mansur Hadi dan beliau akan mengetuai negara sehingga penubuhan Majlis Presiden," menurut kenyataan itu yang disiarkan agensi berita Saba.

Kelmarin, Houthi mengusai Yaman dan mengumumkan perlembagaan sementara selepas krisis politik berlarutan selama beberapa minggu di negara itu.

Pengumuman dibuat kurang dua minggu selepas Abdrabuh dan kerajaannya berundur dalam keadaan terpaksa.

Dalam satu majlis di istana presiden di ibu negara, Houthi berkata, perhimpunan kebangsaan 551 anggota akan ditubuhkan untuk memilih lima anggota Majlis Presiden, yang akan mentadbir Yaman dalam tempoh peralihan selama dua tahun.

Sementara itu, pengambilalihan itu mendorong ribuan pembangkang Houthi berkumpul di bandar Taiz, bagi membantah tindakan pemberontak yang dianggap rampasan kuasa. - dpa