Kelmarin, Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi bagi mendesak pemberontak Huthi menyerahkan kuasa selain membebaskan Abdrabbuh dan beberapa pegawai kerajaan lain yang dikenakan tahanan di rumah bagi memberi laluan kepada rundingan damai diadakan dengan cara baik.
Namun, puak Huthi membalas dengan berkata, Majlis Keselamatan PBB perlu menghormati hasrat dan kedaulatan rakyat Yemen, selain perlu lebih jelas dan mempunyai objektif.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Revolusi Agung yang mewakili puak Huthi juga memaklumkan bahawa PBB tidak perlu mengikut telunjuk kuasa serantau yang mahu menghapuskan hasrat rakyat Yemen dengan melanggar konvensyen antarabangsa dan mencampuri urusan dalaman negara ini.
Kenyataan itu merujuk kepada negara-negara Arab yang berjiran dengan Yemen, yang mahu PBB mengenakan tindakan tegas terhadap rampasan kuasa yang dilakukan oleh pemberontak Huthi.
“Revolusi (Yemen) tidak melibatkan negara jiran kami yang merupakan anggota Majlis Kerjasama Negara-Negara Arab. Bukan sekarang mahupun pada masa depan,” jelas kenyataan itu.
Sementara itu, kumpulan bersenjata yang setia kepada Presiden Abdrabbuh menawan beberapa bangunan strategik di bandar Aden, selatan Yemen selepas bertempur selama lima jam dengan pemberontak Huthi, menyebabkan empat orang terbunuh.
Kumpulan berkenaan yang digelar sebagai Jawatankuasa Penentang Popular (PRC) juga menawan sebahagian besar kawasan hab ekonomi termasuk stesen janakuasa utama, stesen televisyen tempatan dan ibu pejabat agensi perisikan negara.
Bahagian utara Yemen dikuasai puak Syiah Huthi yang menguasai keseluruhan bandar Sanaa pada bulan lalu, manakala kumpulan pro-Abdrabbuh dan pergerakan pemisah lain menyasarkan untuk memulihkan kuasa Presiden di bahagian selatan negara. – AFP/REUTERS