SANAA: Sekurang-kurangnya 40 orang, termasuk kanak-kanak yang menghadiri majlis perkahwinan terkorban manakala berpuluh-puluh lagi cedera selepas serangan udara tentera sekutu diterajui Arab Saudi, semalam.
Bagaimanapun, pihak yang menyerang itu mengakui tersilap membedil majlis berkenaan di al-Wahga ketika sasaran mereka adalah ke arah markas pemberontak Houthi.
"Mayat 38 mangsa, termasuk kanak-kanak sudah dibawa ke sebuah hospital di bandar Al-Mokha," kata sumber perubatan terbabit sambil menambah berpuluh-puluh mangsa lain cedera dalam insiden pengeboman itu di bandar Laut Merah itu.
Seorang penduduk tempatan berkata, 12 wanita, lapan kanak-kanak dan tujuh lelaki maut dalam serangan yang mensasarkan dua khemah di kampung al-Wahijah, dekat pelabuhan Al-Mokha, di Laut Merah.
Majlis itu adalah untuk meraikan perkahwinan seorang lelaki tempatan yang dikaitkan dengan kumpulan majoriti Houthi.
Penduduk berkata, mayat hancur bertaburan di tempat kejadian dan mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital berdekatan.
Seorang jurucakap sekutu diterajui Arab Saudi gagal dihubungi untuk ulasan. Serangan semalam berlaku sehari selepas sekutu sama menyerang sebuah rumah di sebuah kampung di utara Yaman kelmarin. Serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang, kebanyakannya orang awam.
Pakatan diterajui Arab Saudi itu sudah melakukan serangan udara ke atas kumpulan Houthi yang bersekutu dengan Iran selama enam bulan dalam percubaan untuk menghalau mereka daripada ibu negara yang tumpas, setahun lalu dan mengembalikan kuasa presiden buangan Abd-Rabbu Mansour Hadi.
Bagaimanapun, jurucakap pakatan diterajui Arab Saudi menafikan sebarang serangan itu.
Brigadier Jeneral Ahmed al-Asseri berkata: "Tiada operasi udara pakatan berkenaan di kawasan terbabit selama tiga hari. Ini adalah berita palsu." - AFP/Reuters
No comments:
Post a Comment