![]() |
ORANG ramai mengangkat seorang jemaah yang cedera dalam letupan bom di Masjid Balili, Sana, Yemen ketika jemaah sedang menunaikan solat sunat Aidiladha, semalam. - AGENSI
SANAA 24 Sept. – Sekurang-kurangnya 25 orang terkorban, manakala berpuluh-puluh lagi cedera selepas berlakunya serangan bom di sebuah masjid pengikut Syiah, di sini hari ini ketika mereka sedang mengerjakan solat sunat Aidiladha.
Menurut saksi, sebanyak dua letupan berlaku di Masjid Balili, kawasan yang dikuasai kumpulan pemberontak Houthi, hari ini.
Kata saksi, letupan pertama berlaku di dalam masjid sebelum seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di pintu keluar masjid berkenaan ketika orang ramai berpusu-pusu lari menyelamatkan diri.
Namun, tidak dapat disahkan sama ada letupan pertama dilakukan oleh pengebom berani mati berkenaan atau pun tidak.
Sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab berhubung insiden letupan itu.
Pengikut Syiah mendakwa serangan berkenaan mungkin dilakukan anggota kumpulan militan Negara Islam (IS).
Kumpulan militan IS yang ketika ini menguasai sebahagian besar kawasan di Iraq dan Syria menyifatkan pengikut Syiah sebagai golongan yang ‘menyeleweng’ daripada ajaran Islam.
Pada 21 Mac lalu, IS bertindak melancarkan serangan bom yang mensasarkan sebuah masjid Syiah di Sanaa mengakibatkan 142 orang maut.
Kumpulan berkenaan turut mengaku bertanggungjawab dalam beberapa siri serangan bom yang menjadikan masjid sebagai sasaran utama di Kuwait dan Arab Saudi. – REUTERS
No comments:
Post a Comment