Pengumuman itu dibuat oleh tentera bersekutu menerusi satu kenyataan, susulan pencabulan perjanjian yang berlaku hampir setiap hari sejak gencatan senjata dikuatkuasakan pada bulan lalu.
“Kepemimpinan tentera bersekutu menamatkan gencatan senjata dengan kumpulan pemberontak di Yemen berkuatkuasa pada pukul 2 petang waktu tempatan,” kata kenyataan itu.
Gencatan senjata tersebut dikuatkuasakan pada 15 Disember lalu tetapi pemberontak Houthi secara berterusan menyerang wilayah Arab Saudi menggunakan peluru berpandu balistik de­ngan menjadikan pos keselamatan sempadan sebagai sasaran.
Puak pemberontak turut mem­­bedil kawasan penempatan, selain membunuh dan menahan penduduk awam di kawasan yang dikuasai pemberontak.
“Perkembangan semasa ini menunjukkan kumpulan pembe­rontak tidak serius dan tidak mempedulikan nyawa orang awam, selain mengambil kesempatan daripada perjanjian gencatan senjata itu,” tambah kenyataan itu.
Pemberontak Houthi dan sekutunya meningkatkan serangan di sempadan Arab Saudi sejak beberapa hari lalu, sekali gus me­ngundang tentera bersekutu untuk bertindak balas.
Kerajaan Arab Saudi me­laporkan, pertahanan udara berjaya memintas serangan peluru berpandu pemberontak Houthi yang dilancarkan dari Yemen ke arah bandar Abha, kelmarin dan pihaknya berjaya mengesan kedudukan pelancar itu, sebelum memusnahkannya.
Lebih 80 orang, kebanyakannya askar dan pengawal sempadan terbunuh dalam serangan meriam dan pertempuran di sempadan Arab Saudi sejak Riyadh mengetuai kempen mengebom kedudukan pemberontak Houthi di Yemen. – AFP