Tuesday, 12 January 2016

Klinik MSF jadi sasaran bom

12 JANUARI 2016
Klinik MSF jadi sasaran bom

Serangan ketiga dalam tempoh empat bulan di Yaman itu sekali lagi menyasarkan klinik MSF.


DUBAI - Sekurang-kurangnya empat terkorban dalam insiden serangan terbaharu yang sekali lagi menyasarkan klinik Doctors Without Borders (MSF) di daerah Razeh di wilayah Saada.
Serangan ketiga dalam tempoh empat bulan di Yaman itu turut menerima kritikan banyak pihak.
Mengikut laporan AFP, jurucakap MSF tidak dapat mengesahkan sama ada kemudahan perubatan tersebut menjadi sasaran serangan udara gabungan Arab atau bedilan roket.
"Tiga kakitangan MSF adalah antara 10 mangsa yang dilaporkan cedera dalam kejadian itu. Dua daripada mereka kini berada dalam keadaan kritikal
"Jumlah kematian dijangka meningkat kerana ramai mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan tersebut," katanya lagi.
Menurutnya, kesemua kakitangan dan pesakit telah dipindahkan ke hospital lain di Saada sebagai langkah berjaga-jaga jika berlaku serangan susulan.
Dalam satu kenyataan lain, Pengarah Operasi MSF, Raquel Ayora mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan pihak tidak bertanggungjawab itu.
"Mereka tidak patut membedil sewenang-wenangnya dan perlu lebih peka dengan fungsi pusat kemudahan kesihatan ini. Orang awam sekali lagi menjadi mangsa peperangan ini," jelasnya.

No comments:

Post a Comment