![]() |
Penduduk Iran mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Arab Saudi di Teheran bagi membantah tindakan Arab Saudi menjatuhkan hukuman pancung ke atas seorang ulama terkenal Syiah, kelmarin. AFP
RIYADH 4 Jan. - Arab Saudi, hari ini bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran selepas penduduk Iran menyerang Kedutaan Arab Saudi di Teheran dalam demonstrasi bantahan terhadap tindakan Arab Saudi menjatuhi hukuman pancung ke atas seorang ulama terkenal Syiah, semalam.
Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir mengumumkan perkara itu dalam satu sidang akhbar di sini dan mengarahkan diplomat Iran meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam.
“Sejarah Iran penuh dengan campur tangan negatif dan permusuhan dalam isu Arab dan sering diiringi kemusnahan,’’ katanya dan menuduh Teheran cuba menggugat kestabilan rantau ini.
Teheran dalam reaksi balas menyatakan bahawa Arab Saudi sengaja menjadikan serangan itu sebagai alasan untuk mencetuskan ketegangan.
Kementerian Luar Iran berkata, Riyadh tidak boleh mengalih perhatian terhadap ‘kesilapan besar’ mengenakan hukuman pancung ke atas ulama itu, Sheikh Nimr al-Nimr.
Iran turut menuduh Riyadh cuba meningkatkan ketegangan serantau.
“Dengan tindakan memutuskan hubungan diplomatik, Arab Saudi meneruskan polisi meningkatkan ketegangan dan pertembungan di rantau ini,’’ kata Jurucakap kementerian itu, Hossein Jaber Ansari.
Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei berkata, Riyadh akan menerima ‘balasan cepat’ kerana mengenakan hukuman mati ke atas Nimr ketika Washington menggesa pemimpin-pemimpin rantau berkenaan supaya mengurangkan ketegangan antara puak Sunnah dan Syiah.
Penduduk Iran, semalam bertindak menyerang Kedutaan Arab Saudi di Teheran dan konsulat negara ini di bandar Mashhad ketika mengadakan demonstrasi besar-besaran membantah pelaksanaan hukuman pancung ke atas Nimr.
Sementara itu, Bahrain dan Sudan mengikuti jejak Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Teheran dan menggesa diplomat Iran supaya meninggalkan negara mereka dalam tempoh 48 jam.
Portal al-Jazeera melaporkan, Menteri Hal Hubungan Media Bahrain, Isa al-Hamadi membuat pengumuman tersebut, hari ini ketika ketegangan antara Arab Saudi dan Iran meningkat selepas serangan kumpulan perusuh ke atas kedutaan Arab Saudi di Teheran.
Dalam pada itu, Kementerian Luar Sudan berkata, kerajaan negara itu turut memutuskan semua hubungan diplomatik dengan Iran serta-merta.
“Keputusan itu dibuat ekoran serangan teruk ke atas Kedutaan Arab Saudi di Teheran dan konsulat negara itu di Mashhad yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa,’’ kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Emiriyah Arab Bersatu (UAE) turut menurunkan status hubungan negara itu dengan Iran. – AFP/Agensi

No comments:
Post a Comment