![]() |
Pasukan penyelamat mengeluarkan seorang kanak-kanak perempuan yang terselamat daripada runtuhan selepas serangan udara tentera Syria di Douma, berhampiran Damsyik, kelmarin. – REUTERS
AMMAN 23 Ogos – Sekurang-kurangnya 50 mayat ditemukan di bawah runtuhan bangunan akibat terkena bedilan peluru berpandu yang dilancarkan tentera Syria ke atas kawasan kediaman di sebuah kawasan yang dikuasai kumpulan penentang kerajaan, di timur laut Damsyik, semalam.
Pasukan penyelamat berkata, kesemua mayat dipercayai berada di bawah runtuhan bangunan yang menjadi kediaman bagi berpuluh-puluh keluarga di bandar Douma, kira-kira 15 kilometer ke timur laut Damsyik, manakala berpuluh-puluh yang lain cedera dan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan, dengan kebanyakan mereka berada dalam keadaan kritikal.
Pasukan penyelamat berkata, sebanyak 20 mayat telah dikenal pasti, dan jumlah korban dijangka bertambah ketika pekerja-pekerja pertahanan awam meningkatkan operasi pencarian di bawah runtuhan bangunan empat tingkat itu.
“Terdapat beberapa keluarga lagi terperangkap di bawah runtuhan itu. Kami tidak dapat menemukan mereka kerana proses untuk mengeluarkan runtuhan perlu dilakukan dengan berhati-hati,” kata seorang pegawai pertahanan awam, yang hanya dikenali sebagai Majd.
Ahad lalu, satu serangan udara mengenai sebuah pasar yang sibuk mengakibatkan 100 orang maut.
Serangan di Douma itu adalah satu daripada serangan paling tragis dalam krisis di Syria selama empat tahun yang setakat ini telah mengorbankan kira-kira 250,000 penduduk dan menyebabkan hampir 10 juta penduduk menjadi pelarian.
Sebuah suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditubuhkan untuk menyiasat perang saudara di Syria, sebelum ini menuduh kerajaan menembak secara sembarangan termasuk menggunakan bom berisi bahan peledak yang dilemparkan di kawasan sesak.
Tentera Syria, bagaimanapun menafikan menyasarkan kawasan orang awam dan berkata, serangan itu disasarkan ke tempat persembunyian kumpulan penentang kerajaan. – REUTERS
No comments:
Post a Comment