![]() |
Kejayaan menawan bandar itu semalam disifatkan oleh kumpulan pakatan diketuai Arab Saudi sebagai satu kemenangan besar, menyaksikan lebih 800 anggota kumpulan militan tersebut terbunuh.
Serangan tentera prokerajaan di Mukalla, tenggara Yemen itu yang dihuni 200,000 orang penduduk merupakan sebahagian daripada serangan balas terhadap kumpulan pelampau Sunnah sejak sebulan lalu.
Sebelum ini, tentera prokerajaan turut menyasarkan serangan terhadap kumpulan pemberontak Syiah Houthi yang menguasai ibu negara Yemen, sejak setahun lalu.
Menurut seorang pegawai tentera, tentera kerajaan memasuki bandar tersebut tanpa sebarang tentangan daripada kumpulan militan al-Qaeda yang telah pun berundur ke bahagian barat kawasan itu.
Katanya, penduduk di bandar berkenaan merayu kepada kumpulan militan agar berundur dan tidak memusnahkan bandar itu.
Dalam serangan berkenaan, tentera kerajaan dibantu pasukan tentera khas Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) melancarkan serangan udara.
“Operasi itu berakhir dengan kematian lebih 800 anggota kumpulan militan al-Qaeda termasuk ketua mereka, sementara yang lain melarikan diri,” ujarnya.
Jumlah sebenar kematian masih belum dipastikan.
Sebelum itu, tentera kerajaan berjaya menawan semula terminal minyak terbesar di Yemen Ash-Shihr dekat Mukalla yang dikuasai militan al-Qaeda sejak meletus perang saudara di Yemen.
Serangan itu dilancarkan semasa kerajaan dan delegasi kumpulan penentang mengadakan rundingan damai di Kuwait dan selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama mengadakan lawatan ke Arab Saudi, menggesa dialog dilaksanakan supaya kedua-dua pihak dapat memberi tumpuan terhadap kumpulan militan al-Qaeda. – AFP