Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric berkata, persetujuan untuk meneruskan rundingan dicapai selepas tentera prokerajaan memberi jaminan akan menghormati gencatan senjata antara kedua-dua pihak yang dikuatkuasakan pada 11 April lalu.
“Rundingan damai Yemen akan bermula esok (hari ini) di Kuwait di bawah pemantauan PBB,” katanya.
Menurut sumber di Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa, delegasi pemberontak Houthi dan sekutu mereka berlepas menaiki pesawat milik Oman menuju ke Kuwait.
Rundingan damai Yemen sepatutnya berlangsung Isnin lalu, tetapi terpaksa ditangguhkan selepas pemberontak Houthi yang mendapat sokongan Iran, gagal menghadirkan diri dengan menyalahkan Arab Saudi kerana mencabuli perjanjian gencatan senjata.
Penyelesaian konflik di Yemen merupakan langkah penting selepas lebih 6,400 orang dilaporkan terbunuh dan hampir 2.8 juta pendu dudi Kuwaik terpaksa menjadi pelarian sejak pemberontakan tercetus pada 2014.
Sementara itu, rangkaian televisyen yang dikuasai pemberontak Houthi, Al-Masirah yang memetik kenyataan wakil kumpulan pemberontak, Saleh al-Samad berkata, mereka bersetuju menyertai run­dingan selepas menerima jaminan daripada wakil PBB bahawa tentera kerajaan akan menghormati gencatan senjata.
Seorang lagi wakil pemberontak, Mahdi al-Mashat berkata, mereka juga diberi jaminan bahawa agenda rundingan akan lebih jelas dan mengatasi isu yang boleh mencapai penyelesaian secara aman.
Namun, beliau memberi amaran, kumpulan pemberontak akan menarik diri daripada rundingan tersebut sekiranya jaminan ber­kenaan tidak dipenuhi. – AFP