12 APRIL 2016
![]() |
SANAA - YAMAN. Gencatan senjata bertujuan untuk meredakan ketegangan di Yaman mula berkuatkuasa di seluruh negara, tengah malam kelmarin.
Susulan itu, gabungan Arab diketuai Riyadh yang melancarkan operasi ketenteraan sejak lebih setahun lalu memaklumkan mereka akan menghormati gencatan senjata diusahakan PBB tersebut.
Sementara itu, kumpulan pemberontak Houthi bersama sekutunya, tentera pro-bekas Presiden Ali Abdullah Saleh memaklumkan mereka telah menghantar surat kepada PBB menyatakan komitmen untuk menghentikan operasi ketenteraan di darat, laut dan udara.
Bagaimanapun, Kementerian Luar Yaman mendakwa ada pihak mencabuli gencatan senjata itu hanya selepas beberapa minit ia berkuatkuasa.
Sumber kerajaan memberitahu satu pertempuran sengit tercetus di Taiz selepas pemberontak Houthi bertindak melancarkan serangan terhadap tentera prokerajaan di bahagian selatan tersebut.
Selain itu, pesawat pejuang Arab Saui dilaporkan turut membedil beberapa kawasan di ibu negara dan wilayah Omran kira-kira dua jam selepas gencatan senjata tersebut dilaksanakan.
Pada 23 Mac lalu, Wakil Khas PBB, Ismail Ould Cheikh Ahmed mengumumkan pihak bertelagah di Yaman sebulat suara untuk menguatkuasakan gencatan senjata menjelang pusingan rundingan baharu di Kuwait pada Isnin depan.
Difahamkan, ia adalah gencatan senjata kali keempat yang dikuatkuasakan di negara bergolak tersebut. - AFP
No comments:
Post a Comment