![]() |
PENYOKONG gerakan pemisah selatan berarak di Aden, menuntut supaya negara Yaman Selatan ditubuhkan semula seperti dahulu.
Agensi
Sanaa: Pemberontak Houthi menarik diri daripada rundingan damai yang diusahakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, beberapa jam sebelum rundingan bermula di Kuwait, semalam.
Pegawai berkata, kumpulan berkenaan mendesak serangan udara pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi dihentikan sebelum ia menyertai rundingan itu.
Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada rundingan itu dibatalkan sama sekali.
Menurut dua pegawai media yang ada hubungan dengan pemberontak berfahaman Syiah itu, wakil kumpulan itu menangguhkan pemergian mereka ke Kuwait.
“Mereka tidak akan menyertai rundingan itu kecuali serangan udara dihentikan sama sekali,” kata pegawai berkenaan yang enggan dikenali.
Rundingan itu dirancang untuk mencari jalan bagi menyelesaikan pertelingkahan bersenjata antara kerajaan yang diiktiraf masyarakat antarabangsa dan disokong oleh pakatan Arab dengan pemberontak berkenaan serta sekutu mereka.
Gencatan senjata yang diumumkan awal bulan ini bagi memudahkan rundingan di Kuwait berulang kali dicabuli kedua-dua pihak.
Perang saudara di Yaman menyebabkan ribuan terbunuh dan 2.4 juta penduduk hilang tempat tinggal.
Dalam pada itu, ribuan penduduk menunjuk perasaan di Aden, semalam, menuntut selatan negara itu berpisah dari Yaman dan kembali menjadi sebuah negara merdeka, Yaman Selatan, seperti dahulu.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 7:50 AM
No comments:
Post a Comment