Serbuan di sebuah kampung di Dafaar di wilayah Shabwa yang merupakan kubu kuat pengganas itu di selatan Yemen sejurus tengah malam Sabtu lalu, turut mengorbankan beberapa anggota militan al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP).
Tebusan iaitu wartawan AS, Luke Somers, 33, dan guru Afrika Selatan, Pierre Korkie, 57, ditembak mati di tangan penculik semasa serbuan yang bertujuan membebaskan mereka, kata pegawai Amerika.
Selain wanita dan kanak-kanak itu, laporan di media sosial melaporkan, komander AQAP yang dikenali sebagai Jamal Mubarak al-Hard al-Daghari al-Awlaki serta dua lagi ahli kumpulan tersebut turut maut dalam serbuan tersebut.
Mangsa lain yang maut adalah dari keluarga Awlaki dan Daghari, kabilah penting di wilayah Shabwa dengan kerajaan Yemen memaklumkan tebusan ditahan di sebuah rumah milik Saeed al-Daghari.
Ketika pasukan khas menggempur militan al-Qaeda di rumah tersebut, penculik di bangunan lain menembak dua tebusan itu.
Setiausaha Negara AS, John Kerry berkata, operasi itu yang kedua bagi menyelamatkan Somers dalam tempoh 10 hari hanya diluluskan selepas maklumat yang diperoleh menyatakan nyawa warga Amerika tersebut dalam bahaya yang serius.
Afrika Selatan sementara itu tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak berhubung kematian Korkie. – REUTERS