![]() |
Ali Abdullah Saleh |
BEIRUT - LEBANON. Bekas Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh, berikrar untuk menghormati pelan damai yang diusahakan oleh PBB dalam rundingan di Oman. Menurut Press TV, kenyataan itu dikeluarkan menerusi wawancara disiarkan stesen TV Lubnan, al-Mayadeen, kelmarin. Ali turut menyatakan bahawa beliau bersedia untuk meletak jawatan sebagai Ketua Kongres Agung Rakyat (GPC) dalam tempoh 21 hari sebagai pertukaran untuk menamatkan pertempuran yang telah meragut lebih 5,000 nyawa dan menarik balik sekatan ke atas penghantaran bekalan bantuan ke Sanaa. "Kami telah mencapai perjanjian 10 perkara dengan wakil PBB di Muscat dan turut bersetuju dengan satu lagi perjanjian tujuh perkara. "Perjanjian tujuh perkara itu memerlukan mekanisme dan PBB perlu menyediakan kaedah tersebut," katanya. Minggu lalu, pemberontak Houthi bersama bekas presiden tersebut dilaporkan telah menghantar surat kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon. Kandungan surat itu bertujuan untuk menyatakan penerimaan terhadap pelan damai termasuk Resolusi Majlis Keselamatan PBB yang mendesak pengunduran kumpulan pemberontak tersebut dari bandar dikuasai oleh mereka di Yaman.
No comments:
Post a Comment