Jumlah yang terbunuh itu termasuk 28 anggota tentera dan 40 pemberontak Syiah Houthi.
Sebanyak 50 pemberontak Houthi dan 40 penyokong kerajaan disahkan turut cedera.
Pertempuran itu berlaku walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kepada kedua-dua pihak kerana me­langgar perjanjian gencatan senjata.
PBB mengesahkan esok merupakan hari terakhir rundingan damai antara kumpulan pemberontak Houthi dan parti-parti politik Ye­men bagi menamatkan perang saudara di negara ini.
“Wakil khas PBB, Ismail Ould Cheikh Ahmed akan mengadakan sidang media esok di Bern tentang keputusan rundingan damai Yemen di Switzerland,” jelas satu kenya­taan.
Sementara itu, tentera kerajaan dilaporkan berada dalam lingkungan 40 kilometer di bandar Sanaa yang dikuasai pemberontak tanpa mempedulikan gencatan senjata yang diusahakan PBB.
Penyokong setia Presiden, Abdrabbo Mansour Hadi dan puak-puak bersekutu di kawasan itu turut mengepung Pangkalan Tentera Fardha di timur laut ibu negara yang dikuasai pemberontak. – AFP